KOTA BHARU - Lebih 20,000 pengundi termasuk 2,000 komuniti Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang bertanggungjawab dalam memastikan pemimpin yang dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Sabtu ini terdiri daripada individu yang bebas rasuah.
Penolong Pengurus Komunikasi Korporat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Abdul Fatah Jaafar berkata, pemilihan pemimpin berintegriti tinggi penting untuk menjamin kebajikan masyarakat setempat.
"Pengundi menggalas amanah untuk memilih pemimpin beretika, amanah, mementingkan nilai agama dan berintergriti bagi mewakili mereka di Nenggiri.
"Seorang pemimpin yang baik akan melunaskan tanggungjawab kepada rakyat dari segi pembangunan dan kebajikan tanpa mengira fahaman politik mahupun kaum,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau sebelum itu menyertai Program Hab Integriti PMBK bersama Rasuah Busters di Tunjong, di sini, pada Ahad lalu.
Program turut dihadiri Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMBK, Wan Mohd Husni Wan Osman dan 65 kakitangan pengurusan syarikat berkaitan kerajaan berkenaan.
Menurut Abdul Fatah, masyarakat di DUN Nenggiri boleh mengambil contoh kepimpinan yang ditunjukkan oleh bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersih daripada gejala rasuah sepanjang pentadbiran Allahyarham.
Kata beliau, ketokohan Allahyarham dalam soal kepimpinan beretika juga terserlah apabila semasa hayatnya berani untuk disiasat dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada bila-bila masa sahaja semasa menerajui Kerajaan Pas Kelantan.
"Kita juga boleh mengambil iktibar kisah sejarah Tembok Besar China yang berjaya dibolosi musuh melalui pintu utama sebanyak tiga kali angkara rasuah, tak perlu runtuhkan tembok, tetapi rasuah boleh meruntuhkan sesebuah tamadun yang besar.
"Jadi, penting untuk memilih seseorang pemimpin yang berjiwa besar dan bebas rasuah pada PRK Nenggiri demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya.
PRK Nenggiri menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Barisan Nasional diwakili Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, Mohd Rizwadi Ismail daripada Pas.