KUALA LUMPUR - Ketua penasihat kerajaan interim Bangladesh Prof Muhammad Yunus telah memberi jaminan untuk melindungi hak semua rakyat negara itu termasuk kumpulan minoriti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut menghargai jaminan yang diberikan oleh Yunus bagi menamatkan ketegangan di Bangladesh dan berharap golongan minoriti dapat hidup bersama di negara itu.
Yunus, pakar ekonomi yang pernah memenangi hadiah Nobel itu telah menyampaikan jaminan tersebut semasa menerima panggilan telefon daripada Anwar semalam.
"Semalam saya telah menelefon sahabat lama saya Prof Muhammad Yunus untuk mengucapkan tahniah secara peribadi terhadap pelantikan beliau sebagai Ketua Penasihat kepada kerajaan interim Bangladesh.
"Prof Yunus mempunyai hubungan baik yang telah lama terjalin dengan Malaysia. Justeru saya memberi jaminan bahawa Malaysia sedia membantu dan menyokong kerajaan sementara Bangladesh dalam membina semula negara itu, dan memulihkan keamanan dan keselamatan di Bangladesh,” kata Anwar dalam catatan di Facebooknya hari ini.
Perdana Menteri berkata, Yunus juga telah menjemputnya untuk melakukan lawatan singkat ke Bangladesh secepat mungkin bagi mengeratkan lagi hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara.
Yunus yang berusia 84 tahun mengangkat sumpah jawatan Khamis lepas untuk memimpin kerajaan peralihan 17 anggota di Bangladesh.
Perkembangan ini menyusuli bantahan berminggu-minggu yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Liga Awami pimpinan Perdana Menteri Sheikh Hasina. - Bernama