KAJANG - Polis mengesahkan menerima laporan berhubung seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di sini yang mengalami tekanan perasaan dan cuba mencederakan diri sendiri.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 1.33 tengah hari Selasa.
Menurutnya, pelajar tersebut yang berada di pekarangan sekolah memegang sebilah pisau dan mengugut untuk membunuh diri dengan mengelar tangan.
"Bagaimanapun pelajar tersebut berjaya dipujuk dan tiada sebarang kecederaan berlaku.
"Ibu bapa mangsa telah hadir ke sekolah dan menyatakan anak mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, malah tidak pernah mengadu mengalami sebarang masalah di sekolah mahupun di luar," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, semakan pasukan polis dengan pihak sekolah juga mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang masalah disiplin.
Menurutnya, pelajar tersebut kemudiannya dibawa ke klinik kesihatan untuk ujian saringan kesihatan mental dan mendapatkan punca beliau berkelakuan agresif tersebut.
"Polis menasihatkan masyarakat terutama ahli keluarga lebih serius dalam mengawasi kesihatan mental anak-anak supaya tindakan awal dapat diambil bagi mengelakkan perkara yang lebih buruk berlaku.
"Khidmat nasihat dan kaunseling boleh didapati melalui Talian Kasih 15999 atau mana-mana kaunselor bertauliah sekiranya diperlukan," ujarnya.
Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499).