[VIDEO] PAU 2024: Perhimpunan kali ini hanya libatkan ‘keluarga UMNO’ sahaja

Iklan

KUALA LUMPUR - Tiada jemputan dikeluarkan kepada parti politik lain untuk menghadiri Perhimpuan Agung UMNO 2024 yang bermula pada 21 Ogos hingga 24 Ogos depan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perhimpunan kali ini hanya melibatkan ‘keluarga UMNO’ sahaja.

Iklan
Iklan

"Kali ini kita sudah berbincang dalam Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan bahawa PAU 2024 hanya diadakan untuk keluarga UMNO terlebih dahulu.

"Ini kerana, tahun pertama bersama Kerajaan Perpaduan, kita telah menjemput (parti politik selain UMNO). Insya-ALLAH, mungkin tahun depan atau tahun sebelum pilihan raya kita akan jemput,” katanya ketika sidang media sempena PAU 2024 di Menara Dato Onn pada Rabu.

Iklan
Asyraf Wajdi (tiga dari kanan) ketika sidang media sempena PAU 2024 di Menara Dato Onn pada Rabu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai agenda PAU 2024 sama ada ia akan membincangkan tentang pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden, Asyraf Wajdi berkata, ia tidak akan dibincangkan sama sekali.

Jelasnya, persidangan pada kali ini lebih kepada membahaskan isu usul seperti ekonomi, masa hadapan orang Melayu dan Bumiputera serta agenda yang seiring dengan PAU 2023.

Iklan

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi memberitahu bahawa, PAU 2024 turut membawa kelainan dengan menganjurkan Eksplorasi Kerjaya bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurutnya, penganjuran karnival berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen UMNO yang mempelopori agenda TVET negara.

"Buat kali pertama dalam sejarah tanah air, TVET ini diarusperdanakan dengan suatu dasar TVET yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun lalu.

"Dasar TVET amat mustahak untuk kita menguar-uarkan secara besar-besaran kerana ia merupakan agenda penting bagi anak-anak muda,” ujarnya.

Tambah beliau, ia juga bertujuan untuk memastikan tiada seorang anak muda yang terpinggir dan tercicir daripada arus pendidikan.

Katanya, karnival berkenaan akan memfokuskan empat elemen utama iaitu pameran teknologi dan kerjaya, pameran kisah kejayaan ikon TVET, ‘Top Show Ikon TVET’ dan konsultasi percuma berkenaan dengan latihan-latihan yang boleh diceburi.

Terdapat sembilan sektor TVET yang akan mengadakan pameran antaranya kluster teknologi automotif, penerbangan, maklumat, pembuatan termaju, rel, perladangan moden, pertanian dan peternakan, pembinaan serta perkhidmatan.