PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pengangkutan sedang merangka undang- undang termasuk mempertimbangkan hukuman denda terhadap lelaki yang menceroboh gerabak wanita.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat ini tiada sebarang peruntukan berhubung perkara tersebut.
"Kami sedang merangka denda yang sewajarnya untuk lelaki yang tidak dengar (degil) ini," katanya ketika sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di sini pada Selasa.
Turut hadir, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Anthony berkata demikian mengulas mengenai insiden lelaki sengaja memasuki koc wanita yang ditawarkan oleh komuter Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan Transit Aliran Massa (MRT) serta Transit Aliran Ringan (LRT).
Sebelum ini, Persatuan Wanita Unity Malaysia (Perwim) menggesa kerajaan mewujudkan undang-undang khas bagi membolehkan tindakan diambil terhadap lelaki yang menyalahgunakan koc tersebut.
Dalam pada itu, Anthony berkata, pemantauan secara berskala akan dilakukan oleh polis bantuan bagi memastikan tiada lagi berlaku pencerobohan di gerabak wanita.
"Kaum lelaki harus menghormatinya.
"Tujuan gerabak wanita adalah untuk keselamatan, keselesaan dan keyakinan penumpang wanita menggunakan pengangkutan awam," katanya.
Pada perkembangan berbeza, Anthony berkata, laporan akhir nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor, pada 17 Ogos tahun lepas akan dikeluarkan dalam beberapa hari lagi.
"Beberapa hari lagi sebelum genap setahun insiden tersebut," katanya.
Pada 15 September 2023, laporan akhir nahas itu dijangka diselesaikan pada Ogos tahun ini selaras dengan standard Annex 13 kepada Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO Annex 13) yang memperuntukkan tempoh 12 bulan dari kemalangan tersebut untuk melengkapkan dokumen berkenaan.
Pada 17 Ogos tahun lalu, pesawat Beechcraft Model 390 Premier 1 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang.
Ia meragut 10 nyawa termasuk lapan penumpang dan krew di atas pesawat dan dua pengguna jalan raya.