KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memperincikan sistem dan penyelarasan proses bagi program peralihan khas yang perlu dijalani pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2, sebelum mendapatkan LMM kelas B (motosikal berkuasa tinggi).
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya sedang meneliti perkara berkenaan sebelum diumumkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, program peralihan khas yang bermula 1 Oktober ini, tidak diberikan secara automatik, sebaliknya pemegang lesen perlu menjalani latihan selama dua jam sahaja sebelum menduduki ujian amali di institut memandu.
"Kerajaan sudah menetapkan syarat untuk menyertai program ini iaitu individu terbabit telah memegang LMM kelas B1 atau B2 melebihi tempoh 10 tahun, tiada saman dan tidak mempunyai senarai hitam (kesalahan JPJ).
"Masih ada ujian amali iaitu mereka perlu menunggang motosikal lebih 500cc dan penilaian serta kelulusan daripada pegawai JPJ bagi menentukan mereka (penunggang) ini layak atau tidak (mendapatkan lesen kelas B),” katanya dalam satu temu bual eksklusif di Wisma Bernama pada semalam.
Aedy Fadly berkata, calon yang menyertai program itu akan dikenakan yuran sebanyak RM160, berbanding proses bagi mendapatkan LMM kelas B sebelum ini membabitkan dua jam kelas teori dan 9.5 jam latihan litar dengan bayaran RM900.
Pada 2 Ogos lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan tiada lagi program mendapatkan LMM Kelas B1 di institut memandu akan dibuka kepada orang ramai bermula 1 Oktober ini.
Anthony berkata, dengan mendapatkan LLM kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal dan tidak terhad kepada motosikal berkuasa 499cc ke bawah sahaja bagi kelas B1. - Bernama