Helah scammer tawar kerja mudah komisen RM6,188 sebulan

Iklan
Iklan sebaran mesej tawaran pekerjaan secara sambilan yang dipercayai didalangi sindiket 'Job Scam' dikesan pihak PDRM di platform media sosial.

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu sebaran mesej tawaran pekerjaan secara sambilan yang dipercayai didalangi oleh sindiket 'Job Scam'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan iklan dipaparkan, kumpulan itu menawarkan pekerjaan untuk memberikan ulasan kepada laman web atau produk yang dipaparkan melalui Google.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, ulasan tersebut dipercayai mampu meningkatkan trafik lawatan di laman web tersebut, seterusnya memberi keuntungan kepada peniaga yang memaparkan barangan atau perkhidmatan di laman web berkaitan.

Ramli

"Sebagai balasan, individu yang memberi ulasan akan memperoleh bayaran serendah RM15.90 sehari hinggalah RM6,188 sebulan bergantung kepada tugasan yang disiapkan.

Iklan

"Berpandukan bentuk pekerjaan serta komisen yang ditawarkan, pihak JSJK percaya ia adalah satu cubaan penipuan," katanya pada Rabu.

Kata beliau, semakan sedang dilakukan JSJK bagi menentukan sama ada terdapat individu yang telah menjadi mangsa kepada sindiket penipuan tersebut.

Iklan

Sehubungan itu menurutnya, mana-mana individu yang mungkin telah ditipu oleh sindiket itu digesa untuk segera tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran.

Tegas beliau, orang ramai diingatkan untuk sentiasa berhati-hati dengan tawaran pekerjaan sambilan yang kelihatan seakan benar-benar wujud.

"Pada era mencabar ini, mana mungkin terdapat pekerjaan yang menawarkan pulangan lumayan hanya dengan melakukan kerja-kerja mudah.

"Jadilah individu yang lebih bijak, jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran," ujarnya.