IPOH - Pas Perak mempersoalkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, tindakan tersebut amat mengecewakan kerana pengharamannya sebelum ini sudahpun diwartakan pada tahun 2019 atas alasan terdapat kandungan mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta menggemparkan fikiran orang ramai.
Menurutnya, walaupun penarikan balik warta itu dibuat susulan keputusan mahkamah, kerajaan harus mengambil inisiatif lain bagi menghalang elemen negatif yang boleh menggugat ketenteraman dan kestabilan awam sepertimana keputusan yang diambil sebelum ini.
Beliau berkata, beberapa elemen membahayakan keselamatan negara seperti unsur komunis yang dilihat diagungkan serta menggambarkan kaitan Islam dengan keganasan dibawa dalam komik tersebut.
"Ia sesuatu yang bersifat menyanggah Perlembagaan serta cuba merungkai kefahaman rakyat yang harmoni selama ini menentang fahaman Komunis dan menjunjung Islam sebagai agama kedamaian dan toleransi.
"Membenarkan sebaran ini akan mengundang kemudaratan kepada pemikiran rakyat khususnya kanak kanak yang menjadi sasaran komik tersebut.
"Pas Perak mempersoalkan tindakan menarik balik warta tersebut setelah lapan bulan diputuskan mahkamah. Apakah kerajaan tidak ada usaha lain agar pengharaman itu dikekalkan?" katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, Razman turut mempersoalkan sama ada keputusan tersebut dibuat kerana kerajaan terpaksa tunduk dengan kehendak DAP yang dilihat begitu dominan dalam kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) itu.
Sehubungan itu katanya, Pas Perak menyeru agar rakyat mengambil tindakan pengawasan sendiri agar komik berkenaan tidak tersebar dalam masyarakat setelah kerajaan gagal menjaga dan mengawal penyebaran buku tersebut.
Pada Selasa, media melaporkan KDN membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' tulisan Kuan Yau itu yang sebelum ini diwartakan pada 2019.
Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bertarikh 6 Ogos lalu.
Berdasarkan warta itu, pembatalan Perintah Larangan itu membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk 'Belt and Road Initiative for Win-Winism' dan bahasa Cina.
Perintah Larangan itu sebelum ini dibuat KDN kerana terdapat kandungan mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.
Ini kerana kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.
Lima tahun lalu, KDN mewartakan Perintah Larangan terhadap penerbitan 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' dalam tiga versi bahasa itu melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 288/2019 mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini dilarang secara mutlak di Malaysia.