SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor membantah keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan larangan mencetak dan mengedar komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ milik 'Superman Hew'.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, penarikan larangan itu tidak memberi apa-apa manfaat kepada negara, bahkan bakal mencetuskan polemik 3R (agama, raja dan kaum) yang tidak berkesudahan.
"Apa sudah jadi dengan Kerajaan Madani?. Komik yang begitu provokatif sebegini pun tidak mampu disekat, apa lagi yang mahu diharapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, lebih mendukacitakan, pembatalan larangan ke atas komik itu dilakukan pada bulan kemerdekaan dan ia seolah-olah mahu menjolok sarang tebuan.
"Sebelum ini, kerajaan PH 1.0 pernah larang komik tersebut yang giat diedarkan ke sekolah-sekolah pada waktu itu.
"Tetapi, penguasaan DAP yang semakin kuat membuatkan kerajaan PH 2.0 ini gagal mempertahankan larangan tersebut," kata beliau.
Mohamed Sukri menegaskan, rakyat di negara ini marah terhadap komik tersebut bukan sahaja kerana ia cuba menyebarkan ideologi komunisme dan sosialisme, bahkan memaparkan mesej salah faham terhadap Islam, selain terdapat cubaan menormalisasi Islamofobia di dalam negara ini.
"Watak orang Islam Uyghur di Xinjiang, China digambarkan sebagai pengganas, berbeza dengan sikap kita yang mahu membela nasib orang-orang Uyghur yang realitinya tertindas di bumi tersebut," jelas beliau.
Kata beliau, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi bahan sindiran dan cacian di dalam komik tersebut.
"Adakah UMNO yang dipimpin (Ahmad) Zahid (Hamidi) hanya mampu berpeluk tubuh membiarkan sahaja pemimpin mereka dihina oleh ‘Superman DAP’ tersebut.
"Adakah UMNO bersetuju dengan tindakan Menteri Dalam Negeri membatalkan larangan pengedaran komik ini?," soal beliau.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda PAS Selangor memberi amaran keras kepada Kerajaan Madani agar tidak bermudah-mudahan terhadap isu berkenaan.
"Kesabaran orang-orang Melayu dan Islam ada batasnya.
"Karya sebegini perlu diharamkan sepenuhnya dan komik tersebut tidak layak menjadi bahan bacaan di tanah air tercinta ini," kata beliau.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Selangor, Zurk Ahmad berkata, sebagai negara berdaulat, merdeka dan mempunyai identiti serta prinsipnya, kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) seharusnya mengambil tindakan yang proaktif, kritis dan tidak berkompromi dengan isu ini.
"Bulan ini negara kita bakal menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia, namun pada masa yang sama bekas aktivis DAP yang diberi gelaran Superman Hew juga turut menyambut kemerdekaan buat hasil karyanya yang menjulang individu bernama Chin Peng, ketua pengganas Parti Komunis Malaya (PKM).
"Alangkah dukacitanya rakyat di negara ini, satu karya yang mengagungkan musuh kepada negara serta bertentangan dengan prinsip dan semangat patriotik negara kini merdeka dan bebas daripada larangan untuk dicetak dan diedarkan kepada rakyat Malaysia," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada 8 Disember 2022, kerajaan Persekutuan gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula larangan ke atas penerbitan komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang dihasilkan oleh bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.
Susulan itu, KDN membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berkenaan yang sebelum ini diwartakan pada 2019 kerana kandungannya dikhuatiri boleh memudaratkan ketenteraman awam.