'Pernah doa mampu bina rumah atas tanah sendiri'

Iklan
Wan Ishak (tengah) menyampaikan watikah berhubung pembinaan rumah Ahmad Rodzi (tiga dari kiri).

YAN - Impian mahu memiliki rumah sejak 10 tahun lalu akhirnya menjadi kenyataan buat seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) setelah terpilih sebagai penerima program Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Ahmad Rodzi Harun, 55, berkata, dia pernah menanam impian dan berdoa agar suatu hari nanti, mampu membina rumah atas sebidang tanah miliknya di Kampung Sungai Lintang, Sungai Limau di sini.

Rumah Ahmad Rodzi yang sedang dalam pembinaan di Kampung Sungai Lintang, Sungai Limau, Yan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun hampir mustahil untuk melaksanakannya dengan pendapatan sebagai guru KAFA di SK Ulu Sedaka, namun tetap bertawakal kepada ALLAH SWT agar impian itu mampu direalisasikan.

"Saya amat berterima kasih atas kelulusan TNB untuk membina sebuah rumah dengan tiga bilik tidur agar mampu memberi keselesaan buat isteri dan anak perempuan yang berusia tujuh tahun,” katanya selepas dikunjungi Pengurus Besar TNB Kedah/Perlis, Wan Ishak Soed.

Iklan

Sementara itu, Wan Ishak berkata, pihaknya telah menyampaikan surat kelulusan kepada kontraktor untuk membina rumah Ahmad Rodzi dengan kos RM83,000.

Dalam pada itu, jelasnya, TNB telah meluluskan tiga projek pembinaan rumah dengan kos keseluruhan RM300,000 di bawah program Baiti Jannati di Kedah tahun ini.

Rumah Ahmad Rodzi yang sedang dalam pembinaan melalui program Baiti Jannati di Kampung Sungai Lintang, Sungai Limau, Yan.

Iklan

"Dua lagi penerima adalah dari Pokok Sena dan Alor Star. Kesemua penerima memenuhi syarat asnaf yang ditetapkan dan memiliki sebidang tanah untuk membina rumah.

"Di bawah tanggungjawab sosial korporat Baiti Jannati, TNB telah meluluskan peruntukan antara RM70,000 dan RM90,000 untuk setiap pemohon yang layak," katanya.

Difahamkan, bagi tahun 2024, TNB telah meluluskan 58 permohonan untuk projek sama di seluruh negara.