Kapasiti dua empangan susut, pengguna mula jimatkan air

Iklan
Kapasiti efektif Empangan Air Itam menunjukkan 29.7 peratus pada 12 Ogos lalu. (Gambar kecil: Wan Maria, Edmund, Zukri)

GEORGE TOWN - Pengguna yang mendapat bekalan air dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang menyahut seruan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PABPP) untuk menjimatkan air.

Penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Ainur, 30-an, berkata, dia dan keluarganya akan sedaya upaya untuk mengurangkan penggunaan air terutamanya bagi penggunaan yang tidak begitu penting seperti mencuci kereta dan menyiram pokok bunga.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, PBAPP juga perlu memainkan peranan dalam memastikan bekalan air kepada pengguna mencukupi sehingga musim hujan yang dijangka pada September ini.

"Saya tinggal dengan keluarga seramai enam orang. Selama ini, penggunaan air untuk kegunaan harian, tidak lah begitu banyak kerana hanya ibu dan bapa sahaja tidak bekerja manakala saya dan adik-beradik lain keluar bekerja pada waktu siang.

Iklan

"Permintaan agar pengguna lebih berjimat cermat dalam menggunakan air, kami sekeluarga akan cuba tetapi PBAPP juga perlu memainkan peranan seperti berusaha menjalankan pembenihan awan," katanya ketika ditemui di Paya Terubong di sini pada Rabu.

Pemilik kedai kek, Wan Maria Wan Zahari, 43, berkata, walaupun menjalankan perniagaan makanan, premisnya tidak menggunakan air dengan begitu banyak.

Iklan

"Walaupun saya menjalankan perniagaan pastri, saya tidak lah guna air begitu banyak. Jika nak suruh berjimat tu, memang sekarang premis saya kurang guna air. Hanya guna air untuk cuci perkakas membuat kuih, biskut dan kek sahaja.

"Itu pun saya tidak hos untuk mencuci kerana jika guna hos, pengaliran air akan lebih banyak. Yang lain-lain, guna (air) jika perlu sahaja. Susah hati juga jika tiada air, jadi saya akan cuba berjimat dalam penggunaan air seperti yang disarankan," katanya.

Sementara itu, Edmund Lee Tatt Weng, 30an berkata, sebagai penduduk Air Itam, dia mengharapkan pembenihan awan dapat dilaksanakan pada bulan ini sebelum peralihan monsun September depan.

Dia turut berharap agar PBAPP dapat melaksanakan beberapa pelan tindakan kontingensi bagi memastikan pengguna di sekitar Air Itam dan Teluk Bahang tidak mengalami tekanan air yang rendah.

"Memang sekarang ini, kapasiti air di kedua-dua empangan amat kurang. Saya harap, PBAPP laksanakan pelan tindakan kontingensi kerana untuk membantu pengguna terutamanya para peniaga.

"Bagaimanapun, sebagai pengguna, saya perlu bersedia untuk menghadapi tekanan air rendah sekiranya hujan masih berkurangan di kawasan empangan. Ketika ini, saya dan tiga ahli keluarga lain memang berjimat guna air setiap hari," katanya.

Peniaga, Zukri Ibni Said, 44, berkata, sebagai peniaga, dia sedaya upaya meminimumkan penggunaan air kerana bimbang sekiranya terputus bekalan keperluan asas itu.

"Sebagai pengguna, memang tanggungjawab kita kena jimat air. Tambahan pula, situasi kapasiti air di dua empangan di kawasan pulau ini, amat membimbangkan.

"Saya yakin PBAPP ada jalan penyelesaian sementara menunggu hujan yang dijangka pada September ini. Selama saya tinggal di negeri ini, belum pernah pengguna terputus bekalan melainkan ada kerosakan paip," tambahnya.

Sebelum ini, PBAPP memohon kerjasama mereka untuk mengurangkan penggunaan air sehingga musim hujan yang dijangka pada September ini berikutan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang menyusut di bawah paras 30 peratus berikutan taburan hujan yang rendah dan penggunaan air yang tinggi.

Sehingga 12 Ogos, kapasiti efektif Empangan Air Itam menunjukkan 29.7 peratus dengan 641 juta liter (JL) manakala Empangan Teluk Bahang pula, menunjukkan 26.4 peratus dengan 4,810 JL.

Pengguna di Air Itam, Farlim, Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan kawasan berhampiran diingatkan harus mengambil perhatian bahawa kapasiti efektif empangan berada dalam keadaan luar biasa rendah pada bulan ini.