DUNGUN - Menggunakan nama ‘Demissu’, tiga anak muda mengorak langkah untuk menjadi sebuah band terkenal tanah air.
Kumpulan dianggotai Wan Noor Zulhilmi Wan Simbok atau Goneng, 26, dan dua lagi rakan dikenali sebagai Along, 26, serta Amirul, 23, menampilkan album baharu bertajuk Demissu yang mempunyai lapan buah lagu pelbagai genre.
Menurutnya, lebih istimewa album berkenaan diedarkan secara percuma sebagai promosi.
"Semua anggota Demissu berasal dari Dungun dan band ini ditubuhkan pada 2010 dan mula bergerak aktif sejak 2015.
"Demissu bermaksud rindu awak dan genre untuk album kami ialah pelbagai iaitu indie, rock serta lain-lain.
"Antara lapan buah lagu dimuatkan dalam album ini ialah Oh bulan, Gadisku, Khilaf, Tentangku dengan Dia, Aku dan Kamu, Humaira, 143 dan Gula Hatiku,” katanya.
Katanya, kebanyakan lagu dihasilkan berkonsepkan keceriaan dan album berkenaan mengambil masa selama satu tahun untuk disiapkan.
"Setiap lagu dan lirik dicipta oleh saya serta gubahan dibuat oleh kami bertiga.
"Insan yang banyak membantu band kami ialah Z dari kumpulan Alamanda dan Syuk (Museca studio).
"Pelbagai rintangan dan halangan ditempuh untuk menyiapkan album ini tetapi atas tunjuk ajar, semuanya berjalan lancar,” katanya.
Sebagai artis baharu, besar harapannya dan rakan-rakan untuk bertapak dalam industri muzik Malaysia.
"Setakat ini kami ada menerima jemputan nyanyian dan akan memperluaskan lagi ‘jajahan’.
"Kumpulan sasaran ialah kepada semua peringkat umur tetapi lebih utama golongan remaja.
"Dengan sokongan semua pihak, tidak mustahil band kami akan menjadi salah satu band terkenal tanah air,” katanya.
Untuk mendengar lagu-lagu yang dipertaruhkan, peminat boleh layari www.soundcloud.com.