Culik warga Palestin: 9 individu mohon gugur, pinda pertuduhan

Iklan
Seramai 11 individu termasuk seorang wanita diiringi dengan ketat oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah untuk dibawa ke di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Seramai sembilan daripada 13 individu yang didakwa di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, atas pertuduhan menculik lelaki warga Palestin mengemukakan representasi agar tuduhan ke atas mereka digugurkan atau dituduh atas kesalahan yang lebih ringan.

Mereka yang masing-masing berusia dalam lingkungan 25 hingga 56 tahun itu ialah Mohamad Norakmal Hassan, Dody Junaidi, Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, Mohamad Naziree Mustapha, Faizull Hardey Mohd Isa, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, Mohamad Sufian Saly, Mohd Zaidi Mohd Zain dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid.

Iklan
Iklan

Semasa prosiding, peguam, Norma Goh Kim Lian yang mewakili sembilan tertuduh itu berkata, permohonan itu telah dibuat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bulan lalu.

Perkara sama diajukan peguam-peguam, Muhammad Amin Abdullah, Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan, Adi Zulkarnain Zulkafli, Navinjit Singh mahkamah mereka akan menghantar representasi sama dalam tempoh terdekat.

Iklan

Mereka mewakili empat tertuduh lain iaitu, Nidarahayu Zainal, 36; Raibafie Amdan, 41; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 25 dan Edy Ko'im Said, 42.

"Susulan itu, saya mohon mahkamah menetapkan tarikh bicara bagi kes ini,” katanya.

Iklan

Selepas mendengar perkara itu, Hakim K Muniandy menetapkan perbicaraan kes tersebut, bermula 7 hingga 11 Julai tahun depan.

Muniandy berkata, memandangkan semua tertuduh berhasrat untuk dilepaskan dengan jaminan sementara menunggu kes dibicarakan, mahkamah juga menetapkan 22 Ogos ini untuk pendengaran permohonan terbabit.

Pada 7 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kes ini akan didengar di Mahkamah Tinggi dan bukannya di Mahkamah Sesyen di sini.

Pada Oktober 2022, 12 lelaki dan seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan secara niat bersama menahan Omar ZM Albelbaisy Raeda, 31, untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di ibu kota, pada 10.40 malam, 28 September 2022, mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang membawa hukuman penjara antara 30 sehingga 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh dan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kerana kes culik di bawah bidang kuasa mahkamah berkenaan.

Ringkasan berita:

  • Individu Terlibat: Dari 13 individu yang didakwa, sembilan orang memohon agar tuduhan menculik digugurkan atau dipinda kepada kesalahan lebih ringan.
  • Usia: Tertuduh berumur antara 25 hingga 56 tahun.
  • Peguam: Norma Goh Kim Lian mewakili sembilan tertuduh, dengan permohonan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bulan lalu.
  • Empat Tertuduh Lain: Peguam mereka akan mengemukakan permohonan serupa dalam tempoh terdekat.
  • Pendakwaan: Akan memanggil 30 saksi untuk perbicaraan.
  • Tarikh Perbicaraan: Ditetapkan dari 7 hingga 11 Julai tahun depan.
  • Permohonan Jaminan: Pendengaran permohonan jaminan akan diadakan pada 22 Ogos.
  • Kes Asal: Kes melibatkan penculikan warga Palestin, Omar ZM Albelbaisy Raeda, untuk mendapatkan rahsia maklumat pada 28 September 2022.
  • Hukuman: Tuduhan boleh membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Dijana oleh AI