Edar dadah: Dua rakan terlepas hukuman gantung

Iklan
Kompleks Mahkamah Melaka.

MELAKA - Dua rakan yang juga bekas pekerja kilang terlepas tali gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu, melepaskan dan membebaskan mereka atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan terhadap Nik Muhamad Nasruddin Mohd Naser, 26, dan Mohamad Zuladam Muhammad, 25.

Iklan
Iklan

Anselm berkata, terdapat pemboleh ubah terhadap rumah yang didiami tertuduh berdasarkan keterangan-keterangan saksi pendakwaan.

Menurutnya, berpendapat terdapat inferens rumah tersebut adalah rumah yang didiami pihak lain selain daripada kedua-dua tertuduh.

Iklan

"Rumah tersebut adalah rumah sewa dan sewaan bukan di atas nama kedua tertuduh.

"Barang kes dijumpai di dalam bilik stor yang mana ia merupakan tempat am bagi penghuni-penghuni lain.

"Dengan ini terdapat kawalan dan jagaan barang bukan milik tertuduh tetapi juga pihak lain," katanya.

Iklan

Hujahnya, pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie dan tiada keperluan memanggil kedua tertuduh untuk membela diri.

"Dengan Ini mahkamah melepaskan dan membebaskan kedua tertuduh,” katanya lagi.

Mengikut pertuduhan, kedua tertuduh yang bekerja di sebuah kilang ketika kejadian telah mencapai niat bersama mengedar dadah berbahaya jenis kanabis dengan berat bersih 1386.80 gram.

Tindakan itu dilakukan kira-kira jam 4.45 petang di sebuah rumah di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam di sini, pada 17 April 2020.

Pendakwaan bagi kes ini dijalankan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati mandatori, sabit kesalahan.

Peguam K Shareveen mewakili kedua-dua tertuduh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusof.

Ringkasan berita:

  • Lokasi & Tarikh: Kejadian berlaku di Melaka, pada 17 April 2020.
  • Tertuduh: Nik Muhamad Nasruddin Mohd Naser (26) dan Mohamad Zuladam Muhammad (25), bekas pekerja kilang.
  • Pertuduhan: Mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1386.80 gram.
  • Keputusan Mahkamah: Kedua-dua tertuduh dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Melaka.
  • Sebab Pembebasan:
    • Pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
    • Rumah sewa tempat kejadian bukan didaftarkan atas nama tertuduh.
    • Dadah ditemui dalam bilik stor yang dikongsi oleh penghuni lain.
    • Tiada bukti kawalan eksklusif oleh tertuduh ke atas dadah tersebut.
  • Hukuman Asal: Jika disabitkan, boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
  • Peguam: K Shareveen mewakili tertuduh.
  • Pendakwaan: Dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusof.
Dijana oleh AI