KUALA LUMPUR - Siasatan berhubung isu dakwaan pemberian kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor yang membabitkan syarikat milik suami kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dijangka siap dalam tempoh terdekat, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
"Saya rasa dalam tempoh sebulan dua ini, siaplah kertas siasatan terbabit,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan, di Hotel Royale Chulan, di sini, pada Rabu.
Turut hadir, Akauntan Negara Nor Yati Ahmad; Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin; Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan), Patimah Ramuji dan CEO Malaysian Institute of Accountants (MIA), Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Hannah Yeoh mengalu-alukan siasatan SPRM berhubung isu dakwaan pemberian kontrak projek rintis DRT oleh kerajaan Selangor, yang mengaitkan syarikat milik suaminya.
Beliau dilaporkan berkata, seluruh rakyat termasuk dirinya berhak untuk mendapatkan kebenaran dan bukti berhubung perkara itu, yang turut membabitkan syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) yang suaminya, M Ramachandran merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di syarikat berkenaan.
Sementara itu, Azam berkata, SPRM memberikan tambahan sebulan lagi, sehingga pertengahan September kepada dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengisytiharkan aset mereka.
"Kita sudah beri tempoh masa kepada Mirzan Mahathir dan Tan Sri Mokhzani Mahathir yang akan berakhir pada pertengahan September. Itu keputusan akhir, selepas mereka isytihar harta nanti kami akan beri perkembangan terkini mengenainya kepada pihak media,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya mereka gagal berbuat demikian, maka SPRM akan mengambil tindakan undang-undang.
Pada 18 Januari lepas SPRM meminta kedua-dua anak Dr Mahathir, Mirzan dan Tan Sri Mohkzani, mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangan sejak 1981, sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis. - Bernama