GUA MUSANG - Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li mendedahkan dia nyaris maut selepas helikopter dinaikinya hampir terhempas ketika dalam perjalanan merasmikan pembukaan tanah rancangan Jeram Tekoh pada 1979.
Mengimbau semua detik cemas berkenaan, Ku Li berkata, semasa kejadian beliau bersama bekas Menteri Besar Kelantan, Mohamed Nasir.
"Turut sama dalam kejadian itu, bekas setiausaha politiknya, Ibrahim Ahmad. Semasa hendak mendarat, ia tiba-tiba turun laju.
"Mujur juruterbang helikopter itu bijak dan berjaya mengawalnya daripada terhempas langgar batang pokok kelapa. Selepas dua kali pusingan baru boleh mendarat dengan selamat.
"Panjang umur tuhan beri boleh jumpa lagi dengan penduduk Jeram Tekoh hari ini (Rabu). Alhamdulillah kalau tidak meninggal dunia dah saya," katanya kepada pemberita semasa turun bertemu veteran UMNO di Jeram Tekoh di sini pada Rabu.
Menurut beliau yang berseloroh, kejadian terbabit rupanya berpunca daripada Ibrahim yang duduk di sebelahnya ketika itu.
"Setiausaha politik ambo (saya) terlelap dan kakinya tertekan padel minyak helikopter, tiada siapa sedar...tiba-tiba sahaja helikopter berpusing turun dengan laju.
"Saya fikir waktu itu habislah (nak) mati dah, saya pandang Mohamed Nasir dan beliau pandang saya sambil cakap (umur) kita setakat ini sahaja, tapi nasib baik masih panjang usia," katanya.
Ku Li mewakili Parlimen Ulu Kelantan selama tiga penggal dan Parlimen Gua Musang selama lapan penggal sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 ditangan Mohd Azizi Abu Naim.