36 warga Bangladesh diami tempat sempit, kotor tunggu kerja

Iklan
Sebahagian warga asing yang diperiksa dalam serbuan di daerah Melaka Tengah, di sini, pada Selasa.

MELAKA - Seramai 36 warga Bangladesh yang terpaksa mendiami premis sempit dan kotor sejak 15 hari lalu ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini, pada Selasa.

Pengarahnya, Anirwan Fauzee Mohd Aini, berkata, operasi yang dijalankan di kawasan sekitar daerah Melaka Tengah selama empat jam bermula jam 10.30 pagi mendapati warga asing itu ditempatkan di premis berkenaan sebelum dijanjikan akan mendapat pekerjaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan kesemua warga asing berusia 25 hingga 47 tahun tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa kerana sedang nyenyak tidur.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen atau pas yang sah.

Iklan

"Bertindak atas maklumat awam, kita telah menyerbu sebuah premis yang dijadikan tempat penampungan pekerja warga asing.

"Kita juga mendapati pihak majikan gagal menyediakan kelengkapan asas tempat tinggal dan keadaan tempat terlalu sempit dan kotor," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Iklan
36 warga Bangladesh tinggal ditempat sempit dan kotor diselamatkan JIM Melaka.

Mengulas lanjut beliau berkata, menerusi beberapa siri operasi antaranya di kawasan pembinaan, pusat mencuci kenderaan dan rumah penempatan warga asing berjaya memeriksa seramai 85 orang.

Ujar beliau, daripada jumlah itu 60 warga asing telah ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen seperti tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) / Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Kata beliau, warga asing yang ditahan terdiri daripada 42 warga Bangladesh, enam warga Indonesia dan Myanmar,empat warga Pakistan dan dua warga Nepal berusia diantara 25 hingga 40 tahun.

"Kesemua warga asing ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Kompleks KDN Melaka untuk tindakan selanjutnya dan akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan lanjut.

"Justeru JIM Melaka memberi amaran kepada pendatang tanpa izin (PATI) dan individu yang melindungi mereka bahawa penguat kuasa sentiasa melalukan pemantauan," ujarnya lagi.