PN minta kerajaan kaji kebenaran cetak komik 'Superman Hew' - Muhyiddin

Iklan
Muhyiddin pada Sembang Santai Bersama Masyarakat di Limau Kasturi Dua, Gua Musang pada Rabu.

GUA MUSANG - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu kerajaan mengkaji semula keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan larangan mencetak dan mengedar komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ milik 'Superman Hew'.

Beliau berkata, semasa menjadi Menteri Dalam Negeri keputusan asas berkait dengan tersebut telah dikeluarkan.

Iklan
Iklan

"Saya tidak tahu ada keputusan mahkamah ke apa...tapi fakta dulu bahawa komik itu tidak dibenarkan dibawa masuk ke sekolah sekolah kerana ada elemen- elemen tertentu komunisme, sosialisme yang tidak sesuai dengan tata budaya kita.

"Janganlah ada satu pihak waktu dulu beri pertimbangan ditolak, sekarang keadaan sudah berubah diluluskan semula, ini satu perkara yang tak harus berlaku," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Sembang Santai Bersama Masyarakat di Limau Kasturi Dua di sini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama ialah calon PN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail.

Menurut beliau, tuntutan yang dibuat oleh Pemuda UMNO supaya kerajaan meneliti semula perkara itu wajar.

Iklan

Katanya, ini bukan isu kecil kerana melibatkan soal keselamatan, masa depan generasi akan datang.

Mohd Rizwadi (duduk dari) turut hadir sama bersama Muhyiddin pada Sembang Santai Bersama Masyarakat di Limau Kasturi Dua, Gua Musang pada Rabu.

Pada Selasa, media melaporkan KDN membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' tulisan Kuan Yau itu yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Berdasarkan warta itu, pembatalan Perintah Larangan itu membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk 'Belt and Road Initiative for Win-Winism' dan bahasa Cina.

Perintah Larangan itu sebelum ini dibuat KDN kerana terdapat kandungan mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

Ini kerana kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Lima tahun lalu, KDN mewartakan Perintah Larangan terhadap penerbitan 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' dalam tiga versi bahasa itu melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 288/2019 mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini dilarang secara mutlak di Malaysia.