JELI - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap tiga gajah liar jantan di kawasan Batu Melintang, di sini, dan Felda Chiku 3 di Gua Musang.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, tangkapan dilakukan dalam tempoh dua hari pada Isnin dan Selasa lalu.
Beliau berkata, pihak Pejabat Perhilitan Daerah Jeli dan Gua Musang sebelum itu menerima aduan daripada penduduk berkait gangguan gajah liar di Kampung Lawar, Batu Melintang, di sini dan di Felda Chiku 3, Gua Musang.
"Susulan aduan di Jeli tersebut, tujuh anggota dari Pejabat Perhilitan Daerah Jeli dan Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan menjalankan operasi serta dapat menangkap dua gajah liar jantan di Kampung Lawar, pada Isnin.
"Di Gua Musang pula, seramai 10 anggota Perhilitan Daerah Gua Musang, Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Gua Musang, Jabatan Perhilitan negeri Pahang dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) menjalankan operasi serta dapat menangkap seekor gajah liar di Felda Chiku 3 pada Selasa,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Rabu.
Menurut Mohamad Hafid, dengan kejayaan tangkapan tiga gajah liar tersebut diharap akan mengurangkan kebimbangan penduduk dan dapat mengelakkan kerugian berterusan yang dialami masyarakat setempat akibat kemusnahan tanaman serta harta benda akibat konflik gajah liar.
Kata beliau, operasi pemindahan dan pelepasan tiga gajah liar tersebut ke habitat yang lebih sesuai, selamat dan jauh dari penempatan manusia akan dijalankan dalam masa terdekat oleh anggota PKGK dan akan dibantu oleh kakitangan Perhilitan negeri Kelantan.
"Pihak jabatan juga ingin menjelaskan bahawa tindakan bagi mengurangkan konflik gajah liar yang berlaku di kawasan berkenaan dijalankan dengan memberi khidmat nasihat kepada penduduk khususnya pekebun agar mengambil langkah-langkah mitigasi seperti memasang lampu lampu diod pemancar cahaya (LED) berwarna biru di laluan yang dikenal pasti digunakan oleh haiwan tersebut untuk masuk ke kebun.
"Pekebun turut dinasihatkan supaya sentiasa membersihkan kebun dan tidak dibiarkan bersemak-samun dan membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di sekeliling kawasan kebun.
"Jabatan juga ingin memaklumkan bahawa tangkapan dan pemindahan gajah liar bukanlah penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan kebun berkenaan adalah berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal Gunong Basor, Jeli dan Hutan Simpan Kekal Relai, Gua Musang yang menjadi habitat asal gajah liar tersebut,” katanya.
Justeru, tambah beliau, orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak
mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan bahaya.
Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Perhilitan melalui talian 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman sesawang www.wildlife.gov.my.