KLANG - Satu mayat lelaki dewasa yang dijumpai di sungai sekitar Jambatan Sungai Klang di sini, pada Rabu disahkan sebagai Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sejak Selasa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
"Mayat itu dijumpai kira-kira jam 7 petang tadi (Rabu) dan disahkan adalah individu yang dilapor hilang (Nidza Afham)," katanya.
Sebelum itu, polis mengesahkan menerima laporan kehilangan penyanyi itu yang keluar rumah pada 7.45 petang Selasa.
Polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada adik mangsa pada jam 4.22 pagi, yang menyatakan abangnya ketika itu memakai baju berwarna biru hitam keluar dari rumah di Bandar Puteri, Klang menggunakan perkhidmatan e-hailing ke Stadium Sultan Sulaiman, Klang untuk berjoging.
Lokasi terakhir keberadaan Nidza Afham adalah di Jambatan Kota yang terletak berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Nidza Afham pernah menyertai rancangan realiti I Can See Your Voice 3, sebelum melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku.