'Am, ayah reda dengan pemergianmu'

Iklan
Mokhtar memeluk salah seorang anaknya ketika ditemui di lokasi penemuan mayat Nidza Afham di Solok Sungai, Taman Telok Pulai Indah di sini, pada Rabu. Gambar kecil: Muhammad Nidza Afham

KLANG -"Saya reda walaupun Am ditemui dalam keadaan tidak lagi bernyawa."

Demikian luahan pilu bapa kepada Muhammad Nidza Afham Mokhtar berkaitan penemuan mayat anaknya itu di Solok Sungai, Taman Telok Pulai Indah di sini, pada Rabu.

Iklan
Iklan

Mokhtar Mahmud, 57, berkata, dia menerima panggilan berkaitan kejadian kira-kira jam 7.30 petang ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Saujana Utama, Sungai Buloh.

"Salah seorang anak saya maklumkan yang polis ada temukan mayat dipercayai arwah. ALLAH sahaja yang tahu bagaimana rasanya ketika itu.

Iklan

"Saya tekadkan hati walau apa pun berlaku, saya perlu kuat dan reda, walaupun Am sudah lagi tidak bernyawa," katanya ketika ditemui di lokasi penemuan mayat dekat Jalan Tepi Sungai, Sungai Kolok di sini pada Rabu.

Menyifatkan pemergian anak kelima daripada tujuh beradik itu memberi kesan besar kepada dirinya sekeluarga, dia berkata, Am merupakan seorang anak yang baik dan sering membantu adik beradiknya.

Iklan

"Am seorang anak yang sangat mendengar kata dan tidak berat untuk membantu adik beradiknya yang lain. Kali terakhir saya menemuinya ketika menghadiri majlis perkahwinan seorang lagi anak lelaki bulan lalu.

"Kali terakhir saya berhubung dengan Am menerusi WhatsApp petang semalam, ketika itu Am menyatakan mahu memberikan wang saku kepada saya," katanya.

Kata Mokhtar, dia menyerahkan segala urusan berkaitan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

"Apa yang boleh saya katakan, Am sudah ditemui dan saya serahkan sepenuhnya kepada polis.

"Sebagai seorang bapa, saya doakan segala urusan Am dipermudahkan dan kepada mereka yang mendoakan agar Am ditemukan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki di tepi sungai kira-kira jam 7 petang.

"Mayat itu ditemukan seorang pemancing yang juga lelaki warga tempatan kira-kira dua kilometer dari lokasi jambatan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan pihak polis sedang menunggu hasil laporan bedah siasat hospital," katanya.

Sebelum itu, polis mengesahkan menerima laporan kehilangan penyanyi itu yang keluar rumah pada 7.45 petang, Selasa.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada adik mangsa pada jam 4.22 pagi, yang menyatakan abangnya ketika itu memakai baju berwarna biru hitam keluar dari rumah di Bandar Puteri, Klang menggunakan perkhidmatan e-hailing ke Stadium Sultan Sulaiman, Klang untuk berjogging.

Lokasi terakhir keberadaan Nidza Afham adalah di Jambatan Kota yang terletak berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Nidza Afham pernah menyertai rancangan realiti I Can See Your Voice 3, sebelum melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku.