SHAH ALAM - Malaysia menentang sebarang percubaan Israel untuk mengubah status sejarah dan undang-undang Baitulmaqdis serta tempat-tempat sucinya.
Wisma Putra dalam kenyataan berkata, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa memastikan rejim Zionis bertanggungjawab atas percubaan berterusan dan sistematik dalam mengubah status Masjid Al-Aqsa.
Ujar kenyataan tersebut, tindakan segera dan tegas perlu diambil untuk mengelakkan keadaan di Tebing Barat dan Gaza menjadi semakin meruncing.
"Kegagalan untuk bertindak balas hanya akan memburukkan lagi krisis sedia ada. Malaysia juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk terus menekan Israel untuk menghentikan perang genosid di Gaza.
"Malaysia kekal bersolidariti dengan rakyat Palestin dan akan meneruskan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk keamanan. Malaysia berpegang teguh kepada status Masjid Al-Aqsa sebagai tapak suci bagi umat Islam.
"Selain itu, menegaskan pendirian bahawa rakyat Palestin berhak untuk menentukan nasib sendiri dan penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya,” katanya pada Rabu.
Dalam pada itu, menurut kenyataan tersebut, kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan Masjid Al-Aqsa oleh ekstremis Zionis Israel pada Selasa.
Ulasnya, perbuatan keji yang dilakukan di bawah perlindungan pasukan keselamatan Israeli itu merupakan pelanggaran serius terhadap salah satu tapak paling suci Islam.
"Malaysia amat berang dengan provokasi ini, yang menafikan hak rakyat Palestin untuk memasuki Masjid Al-Aqsa tetapi juga tidak menghormati umat Islam di seluruh dunia.
"Ini menandakan pencabulan keenam terhadap pekarangan Masjid Al-Aqsa oleh pihak berkuasa Israel sejak akhir tahun 2022,” menurutnya.
Tambah kenyataan itu, pelanggaran tersebut jelas menunjukkan sikap tidak peduli yang berterusan terhadap tapak keagamaan yang suci.
Jelasnya, ia turut dilihat sebagai sebahagian daripada percubaan terancang Israel untuk menjejaskan status undang-undang Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif.
"Tindakan ini juga akan menambahkan ketegangan di rantau Timur Tengah. Provokasi ini bukan sahaja memburukkan keadaan yang sudah sedia tidak menentu, tetapi juga menunjukkan sikap Zionis Israel yang tidak ambil peduli seruan antarabangsa bagi keamanan.
"Israel jelas tidak menghiraukan proses damai, yang disokong oleh majoriti negara bertamadun,” jelasnya.