Bukan sekat rezeki tapi jaga nyawa

Iklan
Penjaja menjual jeruk mangga di persimpangan lampu isyarat.

KERAJAAN sudah pun melarang aktiviti menjaja di persimpangan lampu isyarat beberapa tahun lalu namun, larangan itu seperti tidak diambil endah langsung oleh individu yang terlibat.

Pemandangan individu memakai topi dan menggantung poster produk di leher sambil berjalan secara bersahaja di atas pembahagi jalan masih boleh dilihat di serata negeri.

Iklan
Iklan

Mereka rata-rata membawa makanan dalam balang seperti jeruk mangga untuk dijual kepada pemandu yang sedang menunggu lampu isyarat bertukar warna hijau.

Trend menjaja di persimpangan lampu isyarat ini berkembang sejak pandemik Covid-19 berikutan rakyat berusaha mencari sumber pendapatan baharu susulan kehilangan pekerjaan.

Iklan

Kini keadaan semakin pulih namun penjual di lampu isyarat pula semakin ramai. Kaedah bisnes ini memang cepat, agresif dan berkesan untuk terus sampai kepada pengguna.

Permintaan yang tinggi menyebabkan lebih banyak penawaran yang wujud sehinggakan setiap negeri berhadapan isu sama.

Iklan

Lambakan penjaja termasuk warga asing di persimpangan lampu isyarat yang menjual makanan secara terus ke tingkap kenderaan dibimbangi akan mengundang bahaya kepada penjual, selain mengganggu lalu lintas atau menyebabkan kemalangan jalan raya.

Carian di internet menunjukkan penegasan pihak berkuasa terhadap isu penjaja di lampu isyarat ini kebanyakannya dipaparkan sekitar tahun 2021 dan 2022.

Memang diakui dalam tempoh itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan melainkan tindakan saman dikeluarkan pihak polis kepada penjaja.

Tindakan saman boleh dikenakan mengikut Kaedah 10A(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 yang jelas menyatakan bahawa tiada urusan jual beli dibenarkan di persimpangan jalan atau di atas mana-mana jalan raya. Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000.

Aktiviti menjaja di tepi jalan itu juga menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab apabila penjaja mengambil remeh isu kebersihan makanan dan risiko pencemaran.

Masih ingat lagi, laporan akhbar pada tahun 2022 mendedahkan tindakan penjaja yang menyimpan kotak-kotak mengandungi jeruk mangga di dalam longkang. Bagaimana penjaja ini mengendalikan makanan?

Mengikut Peraturan 11, Peraturan Kebersihan Makanan 2009 pula, pemilik premis makanan hendaklah tidak menggaji atau membenarkan mana-mana pengendali makanan bekerja di premisnya, melainkan jika mereka diberi suntikan vaksin (pelalian anti-tifoid) oleh pengamal perubatan berdaftar.

Mengikut Peraturan 31, semua pengendali makanan, sama ada warganegara atau bukan warganegara perlu mendapatkan suntikan vaksin oleh pengamal perubatan berdaftar.

Media juga pernah melaporkan bisnes itu juga memberi pendapatan lumayan hingga ada yang menggajikan pekerja warga asing berikutan tidak perlu menyewa premis atau memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Terbaharu melibatkan tindakan diambil oleh Majlis Perbandaran Temerloh, Pahang yang merampas 67 balang mengandungi jeruk jenis mangga asam boi dan satu tong bekas simpanan menerusi operasi yang dijalankan agensi tersebut pada 9 Ogos lalu.

MPT turut meminta penjaja makanan dan minuman di persimpangan lampu isyarat di daerah itu menghentikan aktiviti jualan mereka kerana boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

Sudah lebih tiga tahun berlalu malah pihak berkuasa juga ada menjalankan kempen kesedaran di seluruh negara. Mungkin sudah sampai masanya untuk melaksanakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan menyeluruh.

Penjaja juga harus memilih saluran yang betul dengan memohon lesen menjaja daripada PBT demi keselamatan nyawa diri sendiri. Usah nanti apabila adanya kematian, pihak berkuasa pula yang disalahkan.

* Noor Ainon Mohamed Yusof ialah Wartawan Sinar Harian Perak