SHAH ALAM - Pengguna disaran menyalurkan aduan kepada pihak berkaitan sekiranya terdapat kenaikan harga barang secara drastik berikutan kenaikan gaji penjawat awam.
Naib Presiden dan Penasihat Undang-Undang Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Indrani Thuraisingham berkata, segelintir pengguna dilihat lebih gemar membuat keluhan tanpa mengambil tindakan.
Menurutnya, terdapat banyak platform untuk pengguna membuat aduan antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCCC).
Sebagai pengguna bijak kita seharusnya sentiasa pantau harga barang, kalau rasa naik secara mendadak segera buat aduan.
"Kalau hanya harap pemantauan daripada pihak berkuasa kita risau ia tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Indrani, usaha kerajaan menaikkan gaji penjawat awam adalah untuk membantu golongan itu mengurangkan kos sara hidup.
"Kalau gaji naik maksudnya kerajaan prihatin tentang masalah penjawat awam. Jadi peniaga tak boleh ambil kesempatan kerana ia akan jejaskan tujuan kerajaan membantu rakyat berpendapatan rendah dan medium.
"Penalti atau denda lebih tinggi perlu dikenakan kepada peniaga yang melanggar Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan,” katanya.