Usaha sebar luas mesej ALLAH

Iklan
Malaysia #QuranHour 2024 merupakan salah satu usaha untuk menyebarluaskan mesej ALLAH SWT yang terdapat dalam al-Quran kepada semua lapisan masyarakat. (Gambar kecil: Aziah Zawawi & Robaatun Hadayiah)

SHAH ALAM - Malaysia #QuranHour 2024 merupakan salah satu usaha untuk menyebarluaskan mesej ALLAH SWT yang terdapat dalam al-Quran kepada semua lapisan masyarakat.

Naib Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan, Aziah Zawawi berkata, sudah pasti program Malaysia #QuranHour akan memberi impak besar serta sangat bermanfaat dalam melakukan perubahan ke arah ‘MengQurankan Bangsa dan MengIkhlaskan Ummah’.

Iklan
Iklan

Menurut Aziah, pada tahun ini pihaknya bersama ahli jawatankuasa masjid bertungkus lumus membuat persiapan sebaik mungkin untuk menyambut kehadiran peserta yang dijangka seramai 1,000 orang.

"Kami akan adakan forum serta tadabbur di masjid mukim (kampung) iaitu Masjid An Nur, Kota Kubang Labu, Pasir Pekan agar semua golongan masyarakat dapat memahami dan menghayati al-Quran. Saya percaya orang ramai akan memberi sokongan sepenuhnya kerana ia adalah program yang murni.

Iklan

"Menerusi program ini juga masyarakat dapat memahami dengan lebih jelas serta membina jati diri. Insya-ALLAH, kami akan sentiasa memberi sokongan kepada mana-mana program yang mengajak masyarakat berinteraksi dengan al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, Pengerusi Rumah Ngaji Negeri Perak, Robaatun Hadayiah Harun memberitahu, minat membaca al-Quran dapat dipupuk dalam kalangan masyarakat menerusi program Malaysia #QuranHour.

Iklan

Tambahnya, jika seseorang itu mula membaca al-Quran lama-kelamaan akan timbul minat terhadap kitab suci itu.

"Apabila sudah memahami al-Quran, mereka akan mengamalkan dan bertambah takwa kepada ALLAH serta timbul perasaan takut untuk melakukan dosa.

"Umat Islam harus membuka minda mereka demi al-Quran kerana ia adalah kalam ALLAH yang mesti difahami dan diamalkan. Segala yang halal untuk kita lakukan dan haram dijauhi, semuanya ada termaktub dalam al-Quran,” jelasnya.

Ujarnya, Rumah Ngaji Negeri Perak sentiasa menambah bilangan peserta dari masa ke masa, membuktikan orang ramai mula berminat dengan program ilmu seperti itu.

"Semakin hari semakin besar dan ramai yang sertai Malaysia #QuranHour ini. Lagipun program ini sangat sinonim dengan kami sejak tahun 2015, dahulu diadakan secara kecil-kecilan sehingga sekarang sudah hampir 10 tahun.

"Selain itu, semua sekolah yang berhampiran lokasi hotspot akan dijemput dan iklan melalui media sosial juga telah dihebahkan,” katanya.