KOTA KINABALU - Kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung kerajaan negeri sudah berjaya mencapai sasaran menghapuskan miskin tegar pada Julai lalu diragui UMNO Sabah.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, kenyataan itu meragukan kerana rakyat ingin tahu dari mana kerajaan mendapat data tersebut.
Dakwanya, lapan daerah yang dikategorikan mengalami kemiskinan tegar itu dilihat masih bergelut dengan kehidupan yang sukar.
"Ini tidak termasuk di lain-lain daerah yang tidak disenaraikan ada rakyat yang terlepas pandang dan berada di garis kemiskinan tegar.
"Jadi bila melihat pengumuman seperti ini memang agak luar biasa pencapaiannya dan apa yang kita bimbangkan ia sekadar retorik di atas kertas sahaja bagi menyedapkan mata dan telinga rakyat mendengar sedangkan realitinya jauh berbeza," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mengumumkan kerajaan sudah berjaya menghapuskan miskin tegar di negeri ini.
Tambah Suhaimi lagi, kenyataan yang dikeluarkan itu perlu disokong dengan data yang tepat dan ditunjukan kepada umum untuk memberikan keyakinan kepada rakyat Sabah.
"Jika kenyataan ini benar berdasarkan kepada data yang sebenar, rakyat di negeri ini sudah pesti kagum dengan pencapaian drastik kerajaan negeri kerana dalam tempoh yang singkat dapat mengeluarkan rakyat Sabah dari garis kemiskinan tegar.
"Jika isu kemiskinan sudah diselasaikan satu lagi harapan rakyat ialah kerajaan juga perlu mengambil tindakan drastik dalam menyelasaikan masalah insfrastruktur asas seperti bekalan air bersih, sistem perhubungan jalan raya, bekalan elektrik dan pengangguran di negeri ini," katanya.
Ahli Parlimen Libaran itu turut berkata, penyelesaian secara keseluruhan bagi isu prasarana asas perlu dilakukan segera.
"Ini kerana ia juga berkaitan dengan kepentingan rakyat yang mengharapkan mereka dapat menikmati kemudahan asas jalan raya, air dan elektrik yang lengkap bagi memudahkan mereka berniaga atau memasarkan hasil pertanian.
"Ini sekali gus dapat membantu mereka mengeluarkan diri dari garis kemiskinan tegar," katanya.
Sebelum itu, Hajiji pada Selasa lalu mengumumkan perkara perkara itu ketika merasmikan pelancaran Projek Perintis Penanaman Padi di Kampung Ongkilan, Kota Marudu.