GUA MUSANG - Dapur seorang tukang masak di Sungai Asap B di sini, tidak berhenti berasap apabila menerima tempahan setiap hari sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Rospinah Abdullah, 58, berkata, sejak hari penamaan calon pada 3 Ogos lalu sehingga Ahad ini dia masih perlu mengerah kudrat menyediakan pelbagai makanan bagi memastikan jentera parti kekal bertenaga.
"Alhamdulillah rezeki PRK, setiap hari dari pagi sampai ke malam saya hanya berada di dapur.
"Mujurlah ada anak-anak serta adik beradik yang datang membantu, kalau tidak, tidak menang tangan dibuatnya," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut ibu kepada lapan anak itu, pengalamannya dalam bidang masakan lebih 20 tahun menyebabkan dia sering menjadi pilihan orang ramai untuk merasai 'air tangannya' itu.
Rospinah memberitahu, antara menu yang ditempah sepanjang PRK ialah nasi gulai kawah, bihun, nasi lemak, kuih muih dan sebagainya.
Ujarnya, walaupun kepenatan namun, ia diibaratkan rezeki terpijak yang tidak dapat ditolak.
Katanya, rezeki PRK kali ini dapat dikongsi dengan anak-anak serta saudara-mara yang datang membantu menyiapkan tempahan.
"Jika hari biasa saya hanya ambil tempahan perkahwinan, tahlil, jamuan dan sebagainya," katanya.