MASYARAKAT di negara ini dikejutkan dengan laporan media berhubung keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama, tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau yang sebelum ini diwartakan pada 2019.
Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bertarikh 6 Ogos lalu.
Berdasarkan warta itu, pembatalan perintah larangan itu membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk 'Belt and Road Initiative for Win-Winism' dan bahasa Cina.
Sebelum ini, komik tersebut mencetuskan kontroversi dan pernah dikritik hebat susulan dakwaan cuba mempromosi ideologi komunisme.
Kontroversi berkenaan turut membawa kepada peletakan jawatan Kuan Yau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Perniagaan Bersama Malaysia-China (MCBC).
Namun begitu, keputusan KDN mencetuskan persoalan dari pelbagai pihak termasuk sehingga menimbulkan perbalahan antara parti-parti politik.
Pada Rabu, pimpinan UMNO turut menyuarakan perkara sama dan tegas menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Salleh antara pimpinan yang mendesak kerajaan supaya mempertimbangkan langkah memfailkan permohonan menyemak semula keputusan pembatalan perintah larangan terhadap penerbitan komik berkenaan.
Selain itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi turut menggesa parti itu terus membantah keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik semula larangan mencetak dan mengedar komik kontroversi Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama.
Dalam pada itu, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok menyelar kenyataan daripada dua pimpinan UMNO tersebut dengan menyatakan bahawa pandangan mereka disifatkan sebagai tidak menghormati keputusan mahkamah serta menyekat kebebasan bersuara.
Pendirian Ahli Parlimen Seputeh itu menyebabkan Dr Muhamad Akmal sekali lagi tampil menyuarakan pandangannya berhubung isu berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa UMNO masih menghormati pendirian mahkamah berhubung isu itu meskipun tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.
Jelasnya, oleh sebab itu, pihaknya meminta agar kerajaan memohon semula semakan berhubung keputusan berkenaan memandangkan isu itu sensitif dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini.
Pertikaian antara kedua-dua parti politik itu jelas menunjukkan perbezaan pendapat berhubung isu tersebut.
Namun begitu, isu tersebut wajar dipandang serius kerana ia bukan sekadar menyentuh unsur kebebasan suara semata-mata, malah melibatkan soal keyakinan masyarakat dan keselamatan negara secara menyeluruh.
Justeru, peranan kerajaan dalam menjelaskan pendirian negara berhubung isu ini penting kepada rakyat supaya segala persoalan dapat terjawab dan difahami dengan jelas.
Di samping itu, ia juga dapat meredakan kemarahan masyarakat berbilang kaum sekali gus mengembalikan keyakinan mereka terhadap integriti badan penguatkuasa.