Enggan berhenti lepas diarah polis bongkar kegiatan curi kabel

Iklan
Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kabel di Taman Puncak Saujana, Kajang pada Rabu.

KAJANG - Kegiatan mencuri kabel di Taman Puncak Saujana di sini terbongkar selepas dua ditahan pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, satu laporan mengenai kejadian itu diterima pihaknya pada jam 6.39 pagi sebelum anggota Unit Kereta Peronda (MPV) digerakkan ke kawasan berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, anggota MPV kemudian telah terserempak dengan kenderaan suspek iaitu sebuah lori dan kereta Proton Wira yang dinaiki kira-kira lima lelaki.

"Suspek kemudian telah diminta berhenti sebelum mereka terus memecut laju dan dikejar pasukan MPV.

Iklan
Naazron

"Lori terbabit berjaya ditahan di Jalan 2/9A Seksyen 2, Bandar Baru Bangi sebelum tangkapan dibuat ke atas dua lelaki tempatan berusia 18 dan 20 tahun, manakala suspek lain dapat melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Naazron berkata, polis merampas beberapa peralatan mencuri kabel selain dua gulung kabel hitam serta 48 wayar kabel bersama tiga parang.

Iklan

Katanya, semakan mendapati suspek yang ditahan masing-masing mempunyai empat rekod jenayah selain disahkan positif dadah.

"Kedua-dua lelaki itu direman selama tiga hari sehingga 16 Ogos ini bagi membantu siasatan, manakala suspek yang masih bebas pula sedang dikesan dan tindakan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958," ujarnya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Hafifi Noni di talian 016-3335139 bagi membantu siasatan.