Pertimbang masukkan kesihatan mental dalam pakej insurans

Iklan
Foto hiasan. Gambar kecil: Lukanisman

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbangkan untuk mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri bagi memasukkan kesihatan mental dalam pakej insurans kesihatan ke arah usaha memberi pelindungan yang lebih meluas.

Timbalan Menteri, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, perkara tersebut pernah dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen sebelum ini mengenai keperluannya.

Iklan
Iklan

"Cadangan ini mungkin akan melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan pihak industri untuk mencari jalan bagi memasukkan kesihatan mental di dalam pakej-pakej insuran ditawarkan," katanya ketika ditemui media selepas taklimat media berkaitan kesihatan mental dan pelaporan media selamat serta bertanggungjawab di sini pada Khamis.

Ujar beliau, kerajaan meletakkan kesihatan mental sebagai asas kesihatan rakyat.

Iklan

"Kesihatan mental boleh berlaku kepada semua individu termasuk mereka yang kelihatan sihat secara fizikal," jelasnya.

Dalam ucapan, Lukanisman menekankan peranan dan tanggungjawab bersama untuk mencegah tingkah laku bunuh diri.

Iklan

Jelasnya, sikap prihatin, empati dan peduli terhadap orang-orang di sekeliling membantu mereka yang berisiko tingkah laku bunuh diri untuk tampil mendapatkan bantuan.

"Kita perlu memberikan ruang dan peluang untuk mereka berkongsi perasaan dan masalah mereka tanpa menghakimi mereka," katanya.

Menurut beliau, pesakit mental bukan sahaja perlu diberikan sokongan secara fizikal malah sokongan emosi dan psikosial untuk mengatasi cabaran serta krisis yang hadapi.

"Pegawai perhubungan awam dan pengamal media memainkan peranan amat penting dalam penulisan dan pelaporan berkaitan dengan tingkah laku bunuh diri.

"Cara pelaporan tentang tingkah laku bunuh diri boleh memberi kesan positif atau negatif kepada masyarakat," katanya.

Sebelum ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sebanyak 703,000 kematian akibat bunuh diri berlaku di dunia setiap tahun dengan purata satu kematian setiap 40 saat.

Bunuh diri berada di antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berumur 15 hingga 29 tahun.

Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan 135 ahli keluarga atau rakan-rakan akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi.