KUALA TERENGGANU - Garis panduan berkaitan kehadiran umat Islam ke rumah ibadat agama lain adalah khusus untuk menjaga keharmonian di kalangan umat Islam selain mengelakkan timbul sangkaan buruk daripada masyarakat Islam itu sendiri mengenai kemungkinan bertukar agama.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron menjelaskan niat untuk menghadiri rumah ibadat bukan Islam adalah penting untuk mengelakkan timbulnya fitnah dan maksud yang tidak baik termasuk menceroboh atau memusnahkan rumah ibadat tersebut.
Justeru, beliau menekankan bahawa semua pihak perlu menghormati garis panduan itu untuk memelihara keharmonian di kalangan umat Islam.
"Sebagai agama yang diiktiraf dalam al-Quran dan perlembagaan negara, niat dakwah dalam Islam haruslah tulus dan berlandaskan kasih sayang untuk menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.
"Ini sesuai dengan kehendak wahyu yang menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran.
"Mengikut kehendak wahyu, Islam adalah agama yang tertinggi dan umat Islam tidak boleh meletakkan Islam setaraf dengan agama lain,” katanya seperti dipetik melalui portal rasmi kerajaan negeri di sini.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabri berkata, garis panduan tersebut penting untuk menjaga keharmonian dengan agama-agama lain selain mengelakkan timbulnya fitnah serta niat yang buruk.
"Kesimpulannya, garis panduan itu bertujuan menjaga keharmonian dan mengelakkan fitnah.
"Hidayah dan petunjuk adalah milik ALLAH SWT, dan manusia hanya berusaha untuk kebaikan di dunia dan akhirat,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Mohamad Sabri menyatakan dialog antara agama tidak semestinya dilakukan di tempat ibadat tetapi boleh diadakan di lokasi lain yang bersesuaian.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Mohamad Sabri menyatakan orang Islam dibenarkan masuk ke rumah ibadat agama lain dengan tujuan untuk menyebarkan dakwah dan syariat Islam.
Beliau berkata, namun sekiranya hadir tanpa sebarang justifikasi, maka ia bertentangan dengan syariat agama.
Hal ini menimbulkan respons daripada pelbagai pihak termasuk Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) yang tampil menolak pendapat itu kerana menyebarkan agama Islam ke rumah ibadat bukan Islam boleh mengakibatkan gangguan ketenteraman.
Susulan itu, Penasihat Agama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyatakan mana-mana pihak tidak wajar mengkritik kenyataan Mohamad Sabri berhubung isu dakwah di rumah ibadat agama lain, sebaliknya memahami maksud sebenar dakwah Islam.
Mohd Khairuddin berkata, setiap muslim mempunyai tanggungjawab dakwah dengan maksud membawa mesej Islam di mana sahaja mereka berada.
Khairuddin berkata, mana-mana majlis perundingan agama bukan Islam tidak perlu sensitif terhadap maksud dakwah Islam.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, dakwah Islam adalah seruan ke arah kedamaian manusia sejagat, bukan hanya mengajak bukan Islam memeluk agama Islam.