KUALA KANGSAR - Dua beranak dipercayai dalam perjalanan ke sekolah maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Kuala Kangsar-Manong dekat sini pada Khamis.
Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar pada jam 7.36 pagi membabitkan sebuah kereta jenis Honda City dengan MPV Toyota Velfire.
Maklumat awal menyebut mangsa yang maut merupakan pemandu kereta seorang wanita berusia lingkungan 40-an dan anak perempuannya berusia 12 tahun.
Seorang lagi anak perempuan mangsa berusia 10 tahun yang turut berada dalam kenderaan sama mengalami cedera ringan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarozi Nor Ahmad berkata, kedua-dua mangsa berkenaan tersepit di tempat duduk penumpang bahagian hadapan kereta.
"Anggota yang tiba telah melakukan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa tersepit.
"Mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang hadir," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa yang cedera telah dihantar menerima rawatan manakala mereka yang maut diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, dalam kejadian itu, pemandu Toyota Vellfire tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Operasi yang disertai lapan anggota itu tamat pada jam 9.20 pagi," katanya.