Pemain bola sepak bawa kerambit suspek kes baling bom petrol

Iklan
Gambar tular di media sosial seorang lelaki dipercayai membawa masuk senjata tajam berupa kerambit semasa pergaduhan perlawanan bola sepak di padang KLFA, Desa Melati, Kuala Lumpur pada Ahad. Gambar kecil: Rusdi

PUTRAJAYA - Pemain bola sepak amatur yang ditahan kerana membawa kerambit adalah suspek kes membaling bom petrol di sebuah pusat hiburan di ibu kota, pada Mei lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata berdasarkan siasatan, lelaki berusia 22 tahun itu adalah orang dikehendaki berhubung kes berkenaan.

Iklan
Iklan

"Suspek ini ada 'wanted' satu kes iaitu kes baling 'molotov cocktail' di depan pusat hiburan, inilah orangnya.

"Kita mengenal pasti suspek berdasarkan siasatan, rakaman percakapan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pengecaman,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Putrajaya di sini hari ini, pada Khamis.

Iklan

Rusdi berkata, lelaki itu akan didakwa bagi kes bawa kerambit dan baling bom petrol di Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat.

"Pertuduhan adalah dibawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 Seksyen 336 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.

Iklan

Pemain bola sepak amatur itu dikesan membawa senjata tajam dipercayai kerambit ke dalam padang ketika berlaku perselisihan faham dalam perlawanan bola sepak di Pusat Bola Sepak KLFA pada 4 Ogos lalu.

Dalam kes berasingan, sebelum ini, tular video CCTV di laman media sosial yang memaparkan empat individu menaiki dua motosikal membaling bom petrol di hadapan pusat hiburan pada 9 Mei lalu.