Pemandu bas maut, nahas dengan dua lori

Iklan
Anggota bomba melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa dalam kemalangan di Kilometer 49.4, Lebuhraya Utara Selatan pada awal pagi Khamis. Foto bomba

KULAI - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu bas maut, manakala 14 yang lain cedera dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 49.4, Lebuhraya Utara Selatan pada awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan melibatkan sebuah bas dan dua buah lori itu sekitar jam 2.30 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika bas yang membawa 12 penumpang dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru tidak sempat memperlahankan kenderaannya sebelum melanggar bahagian belakang sebuah lori.

"Pelanggaran itu menyebabkan lori berkenaan bergerak ke depan dan melanggar sebuah lagi lori.

Iklan

"Akibat kejadian itu, pemandu bas mengalami kecederaan parah di keseluruhan badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Penumpang bas yang cedera menerima rawatan di Hospital Kluang dan di Hospital Kulai,” katanya.

Iklan

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Shoromi Salih berkata, satu Pasukan Keluaran Operasi (PKO) melibatkan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit jentera Perkhidmatan Perawatan dan Penyelamatan Kecemasan (EMRS) dengan 10 anggota bomba telah dihantar ke lokasi.

"Pemandu bas dan pemandu lori tersepit di tempat duduk. Bomba kemudian mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Operasi ditamatkan pada jam 5.21 pagi," katanya.