Hutang punca pergaduhan di pusat hiburan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 11 Ogos lepas. Gambar kecil: Rusdi

KUALA LUMPUR - Perselisihan berkaitan hutang disyaki menjadi punca pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Jalan Metro Pudu di sini, awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, difahamkan pusat hiburan itu baru dibuka setelah ditutup operasi sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Apabila premis itu dibuka semula, mungkin mereka ada perselisihan berkaitan tuntutan hutang," katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Putrajaya di sini, pada Khamis.

Rusdi berkata, setakat ini seramai 12 individu berusia 20 hingga 40 tahun disyaki terlibat dalam kes berkenaan telah direman bagi membantu siasatan.

Iklan

"Kita turut menjumpai senjata api yang dipercayai digunakan dalam insiden pergaduhan tersebut," katanya.

Dalam kejadian jam 3.45 pagi itu, sekumpulan lelaki tempatan bersenjatakan pistol dan parang dilaporkan bergaduh selain turut melepaskan tembakan.

Iklan

Polis yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat menemui tiga butir kelongsong peluru dan dua butir peluru hidup di lokasi kejadian.

Akibat daripada kejadian tersebut, empat lelaki berusia antara 29 hingga 40 tahun dipercayai mengalami kecederaan disebabkan senjata tajam dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Ampang.

Kesemua individu kemudian telah dibenarkan keluar dari hospital sebelum pihak polis menahan mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.