IPOH - Seorang banduan warganegara Iran ditahan kerana memiliki dadah di dalam Penjara Tapah pada Rabu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kejadian berlaku pada jam 1.15 tengah hari ketika pegawai penjara menjalankan rondaan di Dewan Penjara Tapah di sini yang melihat banduan berkenaan duduk bersendirian menghadap dinding dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, semasa pegawai berkenaan menghampiri banduan tersebut, suspek 39 tahun itu dilihat mengambil sesuatu dari poket seluar dan mencampakkan satu bungkusan plastik berwarna merah di atas lantai.
"Pegawai penjara itu kemudiannya memeriksa plastik tersebut dan menemui dua peket plastik lutsinar berisi bahan berwarna kuning seberat 46 gram serta satu peket plastik lutsinar berisi bahan berwarna merah jambu dengan anggaran berat 30 gram yang masing-masing disyaki dadah jenis heroin.
"Dadah yang dirampas ini disyaki untuk diedarkan di dalam penjara. Kita masih menyiasat bagaimana dadah tersebut masuk ke dalam penjara berkenaan dan dari mana bekalan diperoleh," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Perak di sini pada Khamis.
Azizi berkata, nilai rampasan keseluruhan dadah ini dianggarkan berjumlah RM1,900 dan dipercayai boleh digunakan untuk seramai kira-kira 50 orang penagih dadah.
Menurutnya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah.
Sementara itu, beliau menjelaskan semakan pihak polis juga mendapati banduan tersebut telah disabitkan kesalahan di bawah seksyen sama serta dijatuhi hukuman penjara selama 30 tahun, malah berada di Penjara Tapah sejak tahun 2018.
Menurutnya, banduan terbabit turut memiliki 10 rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan empat lagi rekod bagi kes jenayah yang lain.
"Polis Perak mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan strategik kita iaitu pihak Jabatan Penjara kerana berkolaborasi bagi memastikan tidak ada perkara-perkara yang terlarang dimasukkan ke dalam penjara.
"Syabas kepada pihak Jabatan Penjara kerana memberi perhatian serius dan mengambil tindakan tegas dalam perkara ini sehingga berjaya tertangkapnya banduan ini," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Azizi berkata, banduan berkenaan juga akan turut disiasat sama ada mempunyai kaitan dengan cubaan menyeludup dadah menggunakan dron di penjara yang sama pada 9 Ogos lalu.
Jelasnya, siasatan mengenai kes berkenaan dibuat secara menyeluruh dari pelbagai aspek termasuk rakaman keterangan saksi seperti dimaklumkan sebelum ini.
Menurutnya, tindakan merakam keterangan pegawai penjara sebagai saksi juga merupakan prosedur biasa yang dilakukan pihak polis bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, media melaporkan Polis Perak telah merakam percakapan lima pegawai penjara berhubung kes cubaan menyeludup dadah menggunakan dron di Penjara Tapah, Jumaat lalu.
Mereka yang dipanggil termasuk anggota yang mengawal rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal pos bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan dibuat dan polis akan merakam percakapan termasuk dalam kalangan banduan.