SK Darulaman Heights hasilkan Jalur Gemilang gergasi dari cap telapak tangan

Iklan
Warga SK Darulaman Heights bergambar di hadapan Jalur Gemilang gergasi yang mereka hasilkan.

KUBANG PASU - Sempena memeriahkan bulan kemerdekaan yang disambut setiap tahun, lebih 1,200 warga Sekolah Kebangsaan (SK) Darulaman Heights di sini mengambil inisiatif menghasilkan Jalur Gemilang gergasi dari cap telapak tangan mereka.

Guru Besarnya, Mafezzul Mohamad berkata, Jalur Gemilang berukuran 20 meter panjang dan selebar hampir tiga meter itu mengambil masa selama seminggu untuk disiapkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, inisiatif itu adalah julung kali diadakan untuk memberi pengalaman baharu kepada pelajar di samping mengabadikan rasa cinta terhadap negara.

Seorang pelajar sedang mengecap telapak tangan pada Jalur Gemilang sambil dibantu oleh gurunya.

"Penghasilan Jalur Gemilang ini juga dapat memupuk semangat perpaduan serta kebersamaan warga sekolah terutamanya dalam kalangan murid-murid sempena sambutan bulan kebangsaan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat SK Darulaman Heights 2024 yang turut disertai bekas pemain bola sepak kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli di sini pada Khamis.

Menurutnya, aktiviti sedemikian juga memberi penekanan terhadap pelajar mengenai pentingnya semangat patriotik serta sayangkan negara menerusi penghasilan Jalur Gemilang gergasi tersebut.

Iklan

"Saya sering katakan kepada mereka, kita cap tangan di kain tetapi rasa sayang kepada negara biar sampai ke hati," katanya.

Para guru turut memberi komitmen dalam penghasilan Jalur Gemilang gergasi.

Sementara itu, salah seorang guru sekolah berkenaan, Nurhanis Zamshah berkata, semua pihak bekerja keras bagi menghasilkan Jalur Gemilang gergasi itu.

"Bermula daripada usaha melukis, mengajar anak-anak mengecap tangan serta menggantungnya di bangunan sekolah.

"Kami para guru berharap usaha ini akan menjadi kenangan kepada pelajar sehingga mereka dewasa kelak," katanya.