SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan perlu mengeluarkan pekeliling melarang penyebaran dan pembacaan komik berjudul 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' di sekolah, termasuk sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ia bagi memastikan bahan bacaan itu tidak mendekati anak-anak.
"Saya berharap agar Menteri Pendidikan memantau penyebaran buku ini dalam kalangan pelajar sekolah, sekiranya ada.
"Selain itu, keputusan KDN untuk menarik semula larangan penerbitan komik tersebut amat mengecewakan dan tidak wajar memandangkan kandungan komik berkenaan tidak sesuai dibaca oleh masyarakat majmuk di negara ini khususnya kanak-kanak," ujarnya menerusi laman Facebook pada Khamis.
Pada Selasa, media melaporkan KDN membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' tulisan Kuan Yau itu yang sebelum ini diwartakan pada 2019.
Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bertarikh 6 Ogos lalu.
Berdasarkan warta itu, pembatalan Perintah Larangan itu membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk 'Belt and Road Initiative for Win-Winism' dan bahasa Cina.
Perintah Larangan itu sebelum ini dibuat KDN kerana terdapat kandungan mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.
Ini kerana kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.
Tambah Wan Ahmad Fayhsal itu, kerajaan sepatutnya memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat dan perlu mengelakkan perpecahan di saat ancaman Islamophobia sedang mengancam dunia ketika ini.
"Oleh itu, KDN perlu mengkaji mempertimbangkan semula keputusan untuk menarik balik larangan penerbitan komik tersebut,"ujarnya.