SEPANG - Sepasang suami isteri dan empat individu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga China untuk mendapatkan wang tebusan berbentuk mata wang kripto bernilai AS$T1 juta (RM4.44 juta), bulan lepas.
Chen Jun Hiong, 28, Law Han Wei, 28, Dhinnesh Tan Kin Yuan, 29, Jong Li Jiat, 25, dan pasangan suami isteri Loh Wei Jian dan Wong Xiao Yen yang masing-masing berumur 29 tahun, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Amir Affendy Hamzah.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama empat individu yang masih bebas menahan seorang lelaki warga China secara salah untuk wang tebusan bernilai AS$T1,007,696.
Kesalahan itu dilakukan di susur keluar Cyberjaya, Lebuhraya Maju Expressway (MEX) pada 11 Julai lepas kira-kira 11 pagi.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain manakala kesemua tertuduh diwakili peguam G.Freda Sabapathy (Chen), Mohd Zali Shaari (Law), Nur Aminahtul Mardiah Md Nor (Tan), P.Haresh (Jong) dan Bernard Francis mewakili Loh dan Wong.
Terdahulu, Mohamed Wafi tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, setiap peguam memohon anak guam mereka diberikan ikat jamin namun Amir Effendy menolak permohonan itu.
"Selepas mempertimbangkan kesemua hujahan dan pertuduhan, mahkamah memutuskan jaminan tidak dapat dibenarkan,” katanya yang menetapkan 8 Okt ini sebagai tarikh serahan dokumen.
Media pada Isnin melaporkan polis masih memburu empat lagi individu disyaki terlibat dalam kes culik seorang lelaki warga China dan seorang wanita tempatan berhampiran Plaza Tol MEX berhampiran Cyberjaya pada 11 Julai lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata empat yang diburu itu (tiga lelaki dan seorang wanita) adalah sebahagian daripada 18 anggota kumpulan yang bertindak merancang dan menculik mangsa, serta mereka dipercayai masih berada dalam negara.
Sebelum itu pada 3 Ogos, polis menembak mati empat penjenayah di dua lokasi selepas dipercayai terlibat dalam kes penculikan tersebut dalam kejadian berbalas tembakan di Skudai, Johor. - Bernama