'Kalau bukan kerana teman wanita, kami tak sedar abang hilang' - Aufahanie

Iklan
Aufahanie menunjukkan perbualan terakhir bersama Nidza Isnin lalu.

SHAH ALAM -"Kalau bukan sebab dia (kekasih Allahyarham Nidza Afham), mungkin kami tidak sedar abang hilang..."

Begitu luahan yang dibuat oleh penyanyi Aufahanie mengenai kehilangan abangnya, Nidza Afham Mokhtar, 23, pada petang Selasa lalu.

Iklan
Iklan

Jelas Aufahanie, 21, kekasih Nidza yang dikenali sebagai Hazmiera merupakan individu terakhir berkomunikasi dengan arwah dan orang pertama menyedari kehilangan Nidza.

"Setakat ini, dia (Hazmiera) memang terkesan dengan pemergian abang sebab dia tidak menjangka langsung. Kalau dia tidak maklumkan kehilangan arwah mungkin umi dengan adik tidak sedar abang hilang.

Iklan

"Disebabkan Hazmiera juga, kami tahu lokasi terakhir abang dan dapat bertindak dengan pantas," ujarnya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Perubatan Hospital Shah Alam pada Khamis.

Tambah anak keenam daripada tujuh adik-beradik itu, dengan bantuan Hazmiera juga, ibu dan adiknya dapat membuka telefon bimbit arwah.

Iklan

Lebih pilu, mereka juga baru mengetahui Allahyarham dan kekasihnya ada merancang untuk bertunang, tetapi masih belum menetapkan sebarang tarikh.

"Dulu dia rajin meluah perasaan kerana dalam adik-beradik, kami sangat rapat dan selalu berkongsi perasaan. Umi dan ayah bercerai dari kami kecil dan kami tidak tinggal bersama. Bila sudah besar baru selalu jumpa dan berkongsi cerita.

"Cuma bila dia dah ada kekasih, dia lebih banyak kongsi dengan Hazmiera. Jadi kebelakangan ini, tidak banyak cerita mengenainya yang saya tahu," katanya.

Aufahanie berkata, kali terakhir mereka berinteraksi adalah pada Isnin lalu.

"Masa itu saya baru masuk kereta untuk ke kelas, bila buka Spotify, saya terus cari lagunya dan hantar tangkap layar skrin kepadanya.

"Itu kali terakhir kami berkomunikasi sebab saya tinggal dengan ayah, abang menetap bersama umi, tetapi setiap hari kami akan berhubung, walaupun sekadar menghantar video di TikTok," jelasnya yang memberitahu arwah sering menemaninya setiap kali terlibat dengan persembahan.

Terdahulu, Nidza dilaporkan hilang selepas keluar berjoging di Stadium Sultan Suleiman, Klang seorang diri pada petang Selasa.

Teman wanita mangsa kemudiannya mengesan telefon bimbit mangsa berdekatan jambatan Sungai Klang selepas gagal dihubungi.

Pada Rabu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan mayat lelaki yang ditemui di sekitar jambatan Sungai Klang kira-kira jam 7 malam adalah Nidza Afham.

Mayat mangsa ditemui oleh orang awam kira-kira jam 5 petang.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Bukit Cherakah selepas selesai proses bedah siasat.