Polis pengiring pukul pemandu OKU perlu didakwa - Peguam

Iklan
Surendran (gambar kecil) menggesa Peguam Negara dan polis untuk memastikan pertuduhan jenayah sewajarnya dimulakan segera terhadap anggota pengiring yang didakwa memukul seorang pemandu OKU di lobi sebuah hotel di ibu negara pada 28 Mei lepas.

SHAH ALAM - Suspek kes serangan pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU), Ong Ing Keong perlu didakwa mengikut prosedur undang-undang jenayah dan bukan sekadar dikenakan tindakan tatatertib.

Peguam Ing Keong, N Surendran berkata, kejadian diserang pengawal pengiring kenamaan itu telah mengakibatkan mangsa mengalami trauma sehingga hari ini.

Iklan
Iklan

"Kes ini bukan hanya melibatkan isu tatatertib polis, ia adalah serangan dan pukul yang dirakam dengan jelas dalam video.

"Mangsa mengalami kesakitan, kecederaan dan trauma emosi. Kes melibatkan kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan dan pendakwaan mesti dimulakan selaras prosedur biasa di bawah sistem keadilan negara.

Iklan

"Perkara ini tidak boleh ditangani semata-mata sebagai urusan disiplin dalaman polis," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya telah mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota pengiring yang didakwa memukul seorang pemandu e-hailing OKU di lobi sebuah hotel di ibu negara pada 28 Mei lepas.

Iklan

Susulan itu, mangsa pada Rabu bertindak mendedahkan video kejadian tersebut yang dirakam kamera papan pemuka kereta miliknya ekoran tiada tindakan lanjut diambil walaupun kertas siasatan didakwa telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dalam pada itu, Surendran menegaskan, kes tersebut menjadi kepentingan awam kerana melibatkan serangan tanpa provokasi oleh anggota polis terhadap golongan OKU yang mencari rezeki.

"Kami ambil maklum KPN telah mengesahkan bahawa kertas siasatan telah diserahkan semula kepada AGC bulan lalu.

"Kami menggesa Peguam Negara serta polis untuk memastikan pertuduhan jenayah sewajarnya dimulakan segera terhadap pelaku.

"Bukti video tersedia dan identiti suspek diketahui polis. Tiada sebab untuk menangguhkan dalam memberikan keadilan kepada Ing Keong," ujarnya.