Tembak mati pengawal keselamatan, dua terlepas hukuman gantung

Iklan
Dua lelaki terlepas tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap mereka dengan penjara 36 tahun dan 12 sebatan. Foto hiasan

PUTRAJAYA - Dua lelaki terlepas tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap mereka dengan penjara 36 tahun dan 12 sebatan kerana merompak dan menembak mati seorang pengawal keselamatan, 12 tahun lepas.

Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan permohonan semakan Mohd Hafizuddin Zainal Abidin, 37, dan Cheah Cheong Tatt, 35, untuk menggantikan hukuman mati dengan pemenjaraan di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Iklan
Iklan

Hakim Tengku Maimun yang bersidang bersama-sama Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera turut memerintahkan Mohd Hafizuddin menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 25 Sept 2012 manakala Cheah pada 21 Sept tahun sama.

Mohd Hafizuddin yang semasa kejadian bertugas sebagai pengawal keselamatan syarikat Safeguards G4S Sdn Bhd didapati bersalah merompak wang tunai berjumlah RM1.2 juta milik majikannya dan melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian rakan setugas Hasnul Hafis Saad, 28, yang juga pemandu van syarikat keselamatan itu.

Iklan

Cheah, yang ketika itu penyelia syarikat swasta, didapati bersalah bertindak sebagai rakan sejenayah kepada Mohd Hafizuddin ketika melakukan rompakan dan Cheah mengetahui lelaki tersebut memiliki senjata api.

Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah pasar raya, Jalan Tekah, Aulong, Taiping, Perak, antara 2 petang hingga 3.25 petang, 18 September 2012.

Iklan

Pertuduhan terhadap Mohd Hafizuddin mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 manakala Cheah didakwa mengikut Seksyen 3A akta sama yang membawa hukuman mati mandatori.

Pada 29 Disember 2016, Mahkamah Tinggi Taiping, Perak menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kedua-dua lelaki itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan mempunyai bukti kukuh terhadap kesalahan yang dilakukan.

Hukuman tersebut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, masing-masing pada 2018 dan 2021.

Terdahulu, peguam Gurbachan Singh dan Ramkarpal Singh, masing-masing mewakili Mohd Hafizuddin dan Cheah memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum 30 tahun atas alasan anak guam mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain menyesal atas kesalahan dilakukan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad memohon hukuman penjara antara 36 hingga 38 tahun kerana kes itu melibatkan kepentingan awam. - Bernama