Perkhidmatan Rapid KL beroperasi 24 jam sempena merdeka

Iklan
Azharuddin (tengah) ketika pengumuman operasi 24 jam perkhidmatan rel dan laluan bas terpilih sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Menara Prasarana Subang pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Semua perkhidmatan rel kendalian Rapid KL di Lembah Klang merangkumi LRT, MRT dan monorel akan beroperasi selama 24 jam pada malam 30 Ogos ini.

Selain itu, perkhidmatan BRT Laluan Sunway dan laluan bas terpilih turut akan beroperasi bagi tempoh sama sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

Iklan
Iklan

Rapid KL memaklumkan, langkah tersebut merupakan inisiatif syarikat itu bagi menyahut seruan kerajaan menyemarakkan bulan kemerdekaan.

Menurutnya, semua servis rel akan beroperasi bermula jam 6 pagi pada 30 Ogos sehingga 11.30 malam, 31 Ogos ini.

Iklan

"Rapid KL akan turut menyediakan sehingga 60 bas perantara percuma dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya bermula jam 6 petang pada 30 Ogos hingga jam 3 petang, 31 Ogos.

"Ia bagi memudahkan warga kota yang ingin meraikan sambutan Hari Kebangsaan yang bakal berlangsung di Putrajaya," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Iklan

Selain itu katanya, sebanyak sembilan bas akan disediakan dari MRT Putrajaya Sentral ke lokasi menarik di sekitar Putrajaya seperti Taman Botani, Marina Putrajaya, Alamanda dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, lebih 4,000 kakitangan Rapid KL akan bertugas secara syif bagi memastikan kelancaran operasi 24 jam itu.

"Prasarana amat berbangga kerana dapat menyediakan perkhidmatan ini buat rakyat Malaysia dan kami berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

"Kami berharap rakyat Malaysia dapat hadir bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67 sebagai tanda cinta kepada negara.” ujarnya.

Pada masa sama katanya, warga kota digalak menggunakan perkhidmatan rel dan bas Rapid KL bagi mengelakkan kesesakan.

Ujarnya, lebih 10,000 petak parkir tersedia di beberapa stesen rel terpilih.

"Prasarana dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan kelancaran laluan bas khas ini tidak terganggu dan anggota polis bantuan Prasarana akan ditugaskan untuk membantu penganjur bagi kelancaran lalu lintas.

"Pengguna jalan raya sekitar Putrajaya juga dinasihati agar mematuhi arahan pihak berkuasa dengan tidak menghalang laluan bas sepanjang sambutan berlangsung," katanya.