ISU imej penghafal al-Quran selepas tamat pengajian di sekolah tahfiz menjadi topik perbincangan hangat dalam masyarakat kita.
Insiden terkini yang melibatkan seorang penghafal al-Quran berpakaian tidak sopan telah mencetuskan perdebatan mengenai tanggungjawab dan peranan para huffaz (penghafal) dalam kehidupan seharian.
Menghafal al-Quran merupakan satu pencapaian yang mulia dan dihormati dalam tradisi Islam.
Namun, persoalan yang timbul adalah adakah hafalan semata-mata mencukupi untuk membentuk seorang Muslim yang sempurna?
Al-Quran sendiri menekankan kepentingan bukan sekadar membaca, tetapi juga memahami dan mengamalkan ajarannya berdasarkan ayat ke-29 surah Sad:
"Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepada kamu (Muhammad) penuh dengan keberkatan supaya mereka memerhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran."
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa tujuan utama penurunan al-Quran bukan sekadar untuk dibaca atau dihafal, tetapi untuk direnungi, difahami dan dijadikan panduan hidup.
Dalam konteks ini, imej penghafal al-Quran pasca sekolah tahfiz menjadi satu isu yang kompleks.
Di satu sisi, mereka telah mencapai satu tahap ilmu yang tinggi dengan menghafal keseluruhan al-Quran.
Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini menekankan bukan sahaja kepentingan mempelajari al-Quran, tetapi juga mengajarkannya.
Ini boleh ditafsirkan sebagai tanggungjawab para huffaz untuk bukan sahaja menghafal, tetapi juga memahami dan menyebarkan ajaran al-Quran melalui perkataan dan perbuatan mereka.
Cabaran utama integrasi pengetahuan dalam realiti kehidupan
Cabaran utama bagi penghafal al-Quran selepas tamat pengajian adalah untuk mengintegrasikan pengetahuan mereka ke dalam realiti kehidupan seharian.
Al-Quran sendiri memberi amaran terhadap mereka yang hanya membaca tetapi tidak mengamalkan ajarannya melalui ayat ke-44 surah al-Baqarah:
"Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedang kamu melupakan diri (kewajiban) kamu sendiri, padahal kamu membaca al-Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?"
Ayat ini mengingatkan kita tentang kepentingan konsistensi antara ilmu yang dimiliki dan amalan dalam kehidupan seharian.
Peranan institusi tahfiz
Dalam menghadapi cabaran ini, institusi pendidikan tahfiz perlu memainkan peranan penting.
Ini akan membantu melahirkan huffaz yang bukan sahaja mahir dalam hafalan, tetapi juga memiliki keupayaan untuk menjadi teladan dalam masyarakat.
Allah SWT berfirman dalam ayat ke-79 surah Ali Imran: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, karena kamu selalu mengajarkan al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya."
Konsep 'rabbani' yang disebut dalam ayat ini merujuk kepada individu yang menggabungkan ilmu, amalan dan kebijaksanaan dalam menerapkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian. Ini seharusnya menjadi aspirasi setiap penghafal al-Quran.
Selain itu, masyarakat juga memainkan peranan penting dalam membentuk imej penghafal al-Quran.
Sokongan dan bimbingan berterusan perlu diberikan kepada para huffaz dalam menghadapi cabaran dunia moden.
Pada masa yang sama, masyarakat perlu mengelakkan daripada meletakkan ekspektasi yang tidak realistik terhadap mereka.
Ia merupakan satu tanggungjawab bersama untuk memastikan para huffaz bukan sahaja mampu menghafal al-Quran, tetapi juga memahami, menghayati dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.
Dengan pendekatan yang holistik dan sokongan yang berterusan, kita dapat melahirkan generasi penghafal al-Quran yang bukan sahaja mahir dalam hafalan, tetapi juga menjadi teladan dalam masyarakat, selaras dengan ajaran Islam yang syumul (menyeluruh).
***DR MOHD KHAIRULNAZRIN MOHD NASIR merupakan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Pusat Pendidikan Universiti Malaya (UMEC) Bachok, Kelantan.