PEMILIK Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar percaya kelab itu masih mampu memberikan cabaran pada baki saingan Liga Super 2024-2025 biarpun berdepan pelbagai kekangan sejak awal musim.
Menurutnya, Sang Kenari bermula dengan segala kekurangan selain berdepan liku dan duri sejak pembinaan semula pasukan tersebut.
"Alhamdulillah, kita berjaya juga mendapat perlesenan untuk musim ini dengan bajet dikurangkan hampir 40 peratus dari bajet musim lalu.
"Sejujurnya bagi saya biarlah skuad Kenari dapat terus berada di gelanggang perlawanan dan pertandingan daripada tersingkir keluar dari gelanggang, dan sekarang yang mana kita sedang berada dalam gelanggang pada musim ini kita juga sedang berjuang dengan penuh kekurangan dan kelemahan kita," katanya yang dipetik melalui media rasmi KDA FC.
Jelas Mohd Daud, Sang Kenari dapat berjuang hasil sokongan dan doa yang diberikan oleh peminat, penyokong dan rakyat negeri ini.
Pada masa sama, beliau meminta penyokong-penyokong setia Hijau Kuning untuk terus menyokong pasukan tersebut yang akan melayan kunjungan Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman pada Sabtu ini.
"Biarpun terbangnya mungkin agak rendah dan jalannya tempang namun kami masih percaya anda semua akan menolak kami terbang tinggi dan berlari laju semula.
"Kita adalah sebuah keluarga dan kami menunggu semua ahli keluarga menolak kami ke hadapan kerana itulah erti hidup dalam sebuah keluarga.
"Tidak keterlaluan kalau saya ingin mengajak peminat dan penyokong berpijak di bumi yang nyata kerana kita memang ingin menggapai bulan dan bintang tapi kita masih terbelit dengan pelbagai cabaran. Insya-ALLAH cabaran akan hilang satu hari nanti,” ujarnya.
Mengulas mengenai kekalahan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir Piala FA dan Liga Super pula, Mohd Daud mengakui sedih dengan keputusan berkenaan.
"Kita semua masih sedih dengan kekalahan teruk di Stadium Sultan Ibrahim baru-baru ini. Siapa yang tak sedih dengan keputusan ini? Semua orang termasuk jurulatih, pemain, pengurusan dan kakitangan KDA FC akan merasai keperitan dan kesedihan ini di samping peminat dan penyokong KDA FC.
"Kalau boleh, kita memang tidak mahu menanggung bebanan kekalahan ini dan kebetulan pula kita ditakdirkan bertemu dengan JDT dalam tiga dari empat perlawanan terakhir dalam selang hanya beberapa minggu.
"Namun bagi saya, para pemain telah memberi apa yang terbaik di atas padang dalam keadaan banyak masalah menekan mereka di luar padang. Mereka tertekan tetapi mereka terus berjuang. Tidak semua orang boleh lakukan apa yang mereka lakukan ini. Luar biasa," katanya lagi.
Sebagai rekod, KDA FC memulakan kempen dengan defesit tiga mata dipotong Liga Bolasepak Malaysia dan kini berada dikedudukan kelapan liga selepas mengharungi tujuh perlawanan dengan perlawanan terakhir diabkan JDT, 0-6 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 11 Ogos lalu.