Percepat kelulusan permohonan perniagaan - Anwar

Iklan
Anwar mempengerusikan mesyuarat MPFN pada Khamis.

PUTRAJAYA - Semua pihak harus mempercepatkan kelulusan permohonan perniagaan tanpa berkompromi dengan undang-undang bagi meletakkan Malaysia sebagai destinasi tumpuan pelabur di rantau ini.

Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) ke-45 pada Khamis.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kerajaan akan terus memperkasakan agenda bagi memudahcara perniagaan, meskipun negara telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang positif.

"Dari segi kecepatan kelulusan pembangunan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) harus mempertimbangkan kecekapan," katanya menerusi hantaran di laman sosial.

Iklan

MPFN menjadi platform perbincangan penting antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam meneliti perkara terkait perancangan pembangunan bandar, desa dan guna tanah negara.

Menurut Anwar, mesyuarat juga telah membincangkan mekanisme kawalan dan pengurusan bagi aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Iklan

Jelasnya, ia penting bagi mengimbangi pulangan ekonomi serta mengambil kira aspek kemampanan alam sekitar selain tidak mengganggu kawasan hutan simpan.

"Insya-ALLAH, sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan terus dimantapkan bagi mewujudkan landskap perancangan pembangunan yang lebih holistik," katanya.