SELAYANG - Tiga premis warga asing yang berlindung di sebalik lesen peniaga tempatan diserbu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada Rabu.
Jabatan Korporat MPS dalam satu kenyataan memaklumkan, aktiviti tersebut dikesan hasil risikan dijalankan oleh pihaknya selepas premis berkenaan disyaki beroperasi tanpa kelulusan.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan mendapati kesemua premis terbabit dikendalikan oleh warga Bangladesh, Thailand dan Myanmar yang juga pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
"Premis terletak di Wangsa Permai ini disyaki telah beroperasi tanpa kelulusan dan dikendalikan oleh warga asing menggunakan lesen milik warga tempatan.
"Premis tersebut menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga mereka dengan hanya menjual makanan dan barangan runcit dari negara asal mereka," kata kenyataan itu pada Khamis.
Tambah kenyataan itu, premis tersebut telah diubah suai dan dijadikan pusat hiburan karaoke khas serta tempat aktiviti perniagaan kedai makan tanpa kelulusan.
Kata kenyataan itu, dalam operasi itu, MPS telah merampas pelbagai barangan termasuk minuman keras, peralatan karaoke dan audio visual, kamera litar tertutup (CCTV) serta produk makanan luar.
"Atas pelbagai kesalahan, MPS telah mengeluarkan tujuh kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1), UUK Pelesenan Establisymen Makanan MPS 2007, UUK 3(1), UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPS 2007.
"Tindakan turut diambil di bawah UUK 3(1), UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPS 2007 serta SEK 6(1), Enakmen Hiburan dan Tempat- Tempat Hiburan 1995," kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, pada operasi berkenaan pihaknya berdepan kesukaran disebabkan lokasi premis terletak di tingkat atas bangunan.
Menurut kenyataan itu, perniagaan berkenaan dikawal oleh pemilik premis dengan pagar berkunci dan dilengkapi dengan CCTV antara faktor aktiviti tersebut lambat dihidu penguat kuasa.
Jelas kenyataan itu, MPS menyeru kerjasama penduduk sekitar kawasan Selayang yang mempunyai maklumat berkaitan premis beroperasi tanpa kelulusan terutamanya dikendalikan warga asing untuk membuat aduan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil.
Operasi bermula jam 8 malam itu diketuai Timbalan Yang Dipertua MPS, Adi Faizal Ahmad Tarmizi dengan kekuatan 26 anggota dan pegawai MPS.