Dua remaja maut ketika buat aksi 'wheelie'

Iklan
Keadaan di lokasi kemalangan dua motosikal di Jalan Elmina Business Park, Aman Putri, Sungai Pelong pada Rabu.

SUNGAI BULOH - Dua remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung ketika melakukan aksi 'wheelie' di Jalan Elmina Business Park, Aman Putri, Sungai Pelong di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kedua-dua remaja berusia 13 tahun itu disahkan meninggal di tempat kejadian dalam kejadian pada jam 11.20 malam.

Iklan
Iklan

"Siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila kedua-dua motosikal itu bertembung di laluan bertentangan arah ketika melakukan aksi 'wheelie'.

"Jenazah kedua-dua remaja yang tinggal di sekitar Kampung Kubu Gajah di sini dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Hafiz berkata, kadar kemalangan maut membabitkan aktiviti berlumba atau menduga kelajuan di daerah ini menunjukkan peningkatan drastik sejak Januari hingga Ogos.

"Sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka membabitkan 11 penunggang motosikal maut dalam daerah Sungai Buloh setakat Ogos ini.

Iklan

"Peningkatan ini amat membimbangkan berikutan hanya tiga kertas siasatan dan tiga kematian membabitkan penunggang motosikal dicatatkan di sini tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa harus peka dan cakna dalam mengawal aktiviti anak-anak bawah umur terutama pada waktu malam serta memastikan mereka tidak terlibat dengan aktiviti lumba haram.

"Perbuatan itu bukan sahaja berbahaya dan boleh meragut nyawa sendiri malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain," katanya.

Menurutnya, penunggang motosikal bawah umur dan penjaga mereka boleh dituduh di bawah Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda mencecah RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Ibu bapa juga boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan denda mencecah RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.