Airbus sedia hantar pesanan 400 pesawat tertunggak untuk Malaysia

Iklan
Wouter van Wersch

KUALA LUMPUR - Airbus bersedia menghantar 400 pesawat komersial model satu lorong dan berbadan lebar ke Malaysia mengikut jadual kontrak, kata Naib Presiden Eksekutif Airbus Antarabangsa, Wouter van Wersch.

Van Wersch berkata, Airbus mempunyai 8,500 pesawat tertunggak dari seluruh dunia dan merancang untuk menghasilkan 770 pesawat dari semua jenis pada 2024.

Iklan
Iklan

"Pada masa yang sama, kami juga bekerjasama rapat dengan pembekal kami untuk mengurangkan dan memenuhi pesanan akhir mengikut yang dijadualkan," katanya pada sidang meja bulat media Airbus pada Khamis.

Airbus berkata, pengeluaran pesawat dikurangkan sebanyak 40 peratus daripada 863 unit pada 2019 disebabkan oleh pandemik Covid-19 tetapi meningkat secara berterusan sejak itu, dengan tahap pengeluaran sebanyak 566 pesawat pada 2020, 611 pada 2021, 661 pada 2022 dan 735 pada 2023.

Iklan

Pengeluar pesawat itu akan meningkatkan pengeluaran untuk pesawat komersialnya seperti berikut; 14 untuk A220 pada 2026, 75 sebulan pada 2027 untuk keluarga A320, dan menaikkan kadar pengeluaran kepada 12 sebulan untuk pesawat penumpang A350 pada 2028.

"Pandemik Covid-19 merupakan gangguan yang besar. Kami mengurangkan pengeluaran sebanyak 40 peratus tetapi kami (kini) berusaha untuk meningkatkan kadar pengeluaran kami. Jadi ini perkembangan yang sangat positif," kata van Wersch.

Iklan

Beliau berkata, permintaan meningkat dengan pesat selepas pandemik, dengan pemulihan didorong oleh rantau Asia Pasifik, terutamanya Malaysia kerana lokasinya yang strategik di ASEAN.

"Kami mempunyai pangkalan pembekal yang besar di (Malaysia). Kami bekerjasama dengan 14 syarikat, termasuk Composites Technology Research Malaysia (CTRM), Spirit Aerosystems Malaysia Sdn Bhd, dan SME Aerospace Sdn Bhd,” katanya sambil menambah rantaian bekalan Malaysia bernilai kira-kira AS$350 juta setahun.

Pada masa ini, Airbus mempunyai lebih 280 pesawat komersial dalam perkhidmatan dengan syarikat penerbangan Malaysia, hampir 100 helikopter awam dan tentera, empat pesawat pengangkutan tentera, dan dua satelit yang menyokong pertahanan dan pembangunan negara.

Airbus berhasrat untuk menjalin kerjasama baharu dalam bidang kemampanan kerana ia melihat potensi besar bagi Malaysia untuk menjadi sumber utama bahan mentah di rantau ini bagi menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF), kata van Wersch.

"Sumber baharu sedang dikaji termasuk sumber daripada minyak alga dan rumpai laut. Kami juga sedang mengusahakan pelbagai projek di Malaysia, terutamanya dengan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia untuk menentukan peluang berpotensi dalam membangun dan meningkatkan penyahkarbonan," katanya.

Syarikat juga akan memastikan masa depan yang mampan untuk industri itu berdasarkan beberapa tonggak, termasuk menggantikan pesawat lama dengan generasi terbaharu, meningkatkan pengeluaran dan penggunaan SAF, dan akhirnya memperkenalkan sumber tenaga baharu seperti hidrogen, katanya. - Bernama