Tiada isu Kerajaan Perpaduan tidak dijemput ke Perhimpunan Agung UMNO - Fahmi

Iklan
Fahmi Fadzil. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, tidak ada sebarang isu berbangkit susulan parti komponen Kerajaan Perpaduan tidak dijemput menghadiri Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung dari 21 hingga 24 Ogos ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pihaknya menghormati keputusan UMNO yang mengumumkan bahawa perhimpunan itu hanya melibatkan keluarga besar parti berkenaan dan wakil komponen Barisan Nasional.

Iklan
Iklan

Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 di sini pada Khamis.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu telah dipersetujui secara bersama dalam Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Iklan

Fahmi juga berkata, Kabinet belum berbincang untuk menyemak semula keputusan pembatalan perintah larangan terhadap penerbitan komik ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama.’

Beliau berkata, kerajaan menghormati keputusan yang dibuat mahkamah berkaitan komik itu.

Iklan

"Ini adalah keputusan mahkamah. Kita hormat keputusan ini... waktu ini belum lagi dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Selasa lepas, Kementerian Dalam Negeri membatalkan perintah larangan terhadap penerbitan komik karya bekas ahli DAP Hew Kuan Yau yang telah diharamkan pada 2019.

Penarikan larangan penerbitan itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024 yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Ogos.

Berdasarkan warta itu, pembatalan perintah tersebut membabitkan penerbitan komik berkenaan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. - Bernama